TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

18 Oktober 2012

ANGGOTA POLIS CEMAS 'DICULIK'

LEDANG 17 Okt. - Kurang 24 jam selepas seorang anggota polis dirempuh penjenayah di ibu negara semalam, seorang lagi anggota pasukan itu berdepan detik cemas apabila 'diculik' dua penjenayah di Serom dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 7 petang itu, mangsa, Koperal Kamarullah Hawari, 40-an, dibawa menaiki kereta suspek sejauh satu kilometer sebelum ditinggalkan di satu lokasi.

Semasa dilarikan dengan menaiki kereta suspek, Kamarullah turut cuba ditikam dengan pisau namun sempat mengelak.

Kejadian berlaku selepas Kamarullah yang bertugas di Pondok Bit Serom menerima maklumat berhubung dua suspek berusia 20-an yang menaiki sebuah kereta Proton Waja di sebuah stesen minyak.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, semasa sampai di lokasi itu, seorang suspek berada dalam kereta sementara seorang lagi berada di luar dan sedang mengisi angin tayar.
Kata Harun, anggota itu yang berseorangan kemudian meminta suspek yang berada di dalam kereta supaya keluar untuk tujuan pemeriksaan identiti.

"Namun tiba-tiba rakannya menyerbu dan berlaku pergelutan. Ketika bergelut, mangsa ditarik ke dalam kereta sebelum suspek memecut laju.

"Semasa dalam kereta, mangsa turut diacu dengan pisau dan cuba ditikam tetapi sempat mengelak lalu bergelut.

"Dalam pergelutan itu, mangsa dicucuk dengan objek tumpul menyebabkannya cedera di bahagian dada. Mangsa kemudian ditinggalkan suspek di satu persimpangan di Serom 1," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, Kamarullah kemudian memaklumkan kejadian itu di balai polis berdekatan sebelum dihantar ke Hospital Tangkak untuk menerima rawatan.

"Kita sedang mengesan kedua-dua suspek yang dipercayai lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an. Kita percaya suspek pernah terbabit dalam beberapa kes curi di sekitar daerah Ledang," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: