Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@nstp.com.my
JOHOR BAHRU: Seramai 728 pekerja di negeri ini sudah diberhentikan kerja sama ada secara pemberhentian tetap atau sukarela oleh majikan masing-masing dalam tempoh kira-kira tiga minggu pertama tahun ini akibat kemelut ekonomi dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains Teknologi dan Inovasi Johor, M Asojan, berkata perangkaan yang dicatatkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor dari tempoh 1 Januari hingga Isnin lalu itu membabitkan seramai 13 majikan dengan membabitkan industri pembuatan dan perhotelan.
"Bagaimanapun, daripada angka berkenaan, JTK Johor yang menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Pemberhentian Pekerjaan dan Penempatan Semula pada pertengahan bulan lalu berjaya mendapatkan semula pekerjaan baru untuk seramai 88 pekerja yang diberhentikan itu," katanya pada sidang akhbar di Wisma Persekutuan di sini, petang semalam.
Asojan berkata, pihaknya mengakui bilangan pekerja yang diberhentikan dalam tempoh 19 hari pertama tahun ini adalah tertinggi sejak krisis kewangan global yang menjejaskan ekonomi dunia bermula pada suku keempat tahun lalu.
Beliau berkata, perangkaan itu menunjukkan bahang yang semakin dirasakan dengan bilangan pekerja yang diberhentikan pada bulan lalu membabitkan seramai 549 orang, termasuk 78 pekerja asing apabila 15 syarikat berhasrat mengurangkan pekerja dan menutup perniagaan.
"Sepanjang tahun lalu, 2,800 pekerja diberhentikan oleh 119 majikan. Krisis ekonomi ini juga menyebabkan sembilan syarikat turut melakukan pengurangan hari bekerja membabitkan 1,572 pekerja manakala sebanyak sembilan syarikat melakukan pengurangan gaji membabitkan seramai 550 pekerja," katanya.
Asojan berkata, walaupun industri pembuatan dan perhotelan terjejas teruk akibat krisis ekonomi dunia, negeri ini yang tidak hanya bergantung kepada kedua-dua industri itu masih mempunyai pelbagai peluang pekerjaan terutama dalam industri pertanian dan pembinaan yang masih mencatatkan kekosongan jawatan.
Beliau berkata, JTK Johor juga membantu orang ramai mendapatkan peluang pekerjaan apabila mengadakan temu duga terbuka untuk 500 jawatan sebagai penjahit di Batu Pahat dan 600 jawatan sebagai penjahit di Kluang pada 5 dan 6 Februari ini.
Asojan berharap pekerja yang diberhentikan kerja akibat krisis ekonomi mendapatkan bantuan dengan mendaftarkan diri dengan JTK Johor atau menghubungi talian 07-2275082.
SUMBER: BERITA HARIAN, 23 JANUARI 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan