TANGKAK: Seorang penternak ayam dikhuatiri lemas ketika keluar memancing udang sendirian di Sungai Muar berhampiran pangkalan Parit Jarum Laut di sini, petang kelmarin.
Tan Seng Hoo, 34, bapa kepada dua anak mengusahakan ternakan ayam di Kampung Teratai berasal dari Bukit Gambir dipercayai pergi memancing bersendirian awal pagi, kelmarin.
Kaki pancing itu bertolak dari Jeti Sungai Rambai di sini, dikhuatiri lemas berikutan roti, rokok dan alat kelengkapan memancing masih lagi ada di dalam sampan tetapi beliau tidak kelihatan.
Malah, enjin sampan gentian tiruannya itu penuh dengan rumput rampai terapung berhampiran pangkalan berkenaan.
Bapanya, Tan Boo Eee, 67, berkata kebiasaan anaknya pergi memancing udang bersama seorang rakan tetapi kebetulan pada hari kejadian, kawannya mempunyai urusan yang perlu diselesaikan.
Katanya, anaknya pergi sendirian dan rakan baik yang menyusul terkejut dan pelik apabila dapati sampan Tan terapung tetapi dia tidak kelihatan kira-kira jam 11 pagi, kelmarin.Menurutnya, dia sekeluarga tidak menyedari anaknya keluar pada jam berapa hanya mengetahui kejadian itu apabila dimaklumkan kira-kira jam 4 petang, kelmarin.
"Dia memang suka pergi pancing udang selalu pergi berteman tetapi semalam (kelmarin) dia sendirian.
"Sejurus mengetahui anaknya hilang di Sungai Muar terus membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Gambir, selepas jam 4 petang, kelmarin," katanya.
Sementara itu, seorang nelayan Hussin Aman, 39, berkata beberapa kaki pancing dan nelayan yang turun ke Sungai Muar nampak sampan Tan terapung tanpa pemilik tetapi tidak menyangka kejadian yang buruk.
Katanya, apabila rakannya nampak kira-kira jam 11 pagi, cuba mencarinya kerana khuatiri lemas kerana semua kelengkapan termasuk makanan seperti roti dan rokoknya masih ada di dalam sampannya.
"Beliau kenal Tan malah sudah berjanji akan menghantar udang sebanyak lima kilogram untuk kegunaannya sempena sambutan Tahun Baru Cina," katanya.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak, berkata sejurus menerima maklumar operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sehingga jam 5 petang.
Katanya, operasi bersepadu itu dijalankan turut membabitkan kerjasama Polis Marin, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Bomba Muar dan bot awam.
"Operasi dijalankan berterusan sejak semalam (kelmarin) bagi mencari mangsa yang dikhuatiri lemas," katanya.
SUMBER: HARIAN METRO, 23 JANUARI 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan