PENGUNJUNG SETIA

23 Januari 2009

TEMBOK PROJEK RUNTUH

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

Sebuah kereta rosak ditimpa tanah merah, namun tiada mangsa cedera

TANGKAK: Ketenangan hidup dua keluarga selama 30 tahun di Kampung Tengah, Jalan Sialang, tergugat apabila mereka dikejutkan dengan kejadian tembok projek perumahan bersebelahan runtuh, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, tembok yang diperbuat daripada batu-bata dan simen setinggi 2.2 meter dan sepanjang 100 meter tiba-tiba runtuh dipercayai akibat tidak mampu menampung tanah merah yang ditambak di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, tujuh daripada dua keluarga yang berada di rumah bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan, bagaimanapun sebuah kereta Proton Saga yang diletakkan di bawah pokok rosak ditimpa tanah merah.

Pemilik rumah, Hussin Ahmad, 57, berkata tembok itu runtuh apabila dipercayai tidak mampu menampung tanah merah ketika kerja menambak tanah sedang rancak dijalankan sejak lebih setahun.

"Saya sedang bekerja di Muar tiba-tiba datang panggilan daripada isteri tembok yang terletak kira-kira 50 meter di depan rumah, runtuh.

"Runtuhan itu menyebabkan jalan masuk ke rumah terputus kerana dihalang batu dan tanah merah, nasib baik syarikat pemaju menjalankan kerja pembersihan pagi tadi (semalam)," kata pemandu bas itu.

Menurutnya, tembok yang dibina tidak kukuh kerana tidak disokong dengan besi cerucuk menyebabkan ianya runtuh apabila banyak tanah merah ditambak di kawasan perumahan itu.

Malah katanya, sistem perparitan yang tidak dibina di bahagian belakang tanah lapang sebaliknya hanya bergantung perparitan di laluan utama memburukkan lagi keadaan.

"Saya sekeluarga bimbang kejadian yang sama berulang seperti di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Selangor.

"Saya dan keluarga adik perempuan yang tinggal bersebelahan tidak mungkin berpindah ke tempat lain kerana kami sudah menetap di sini lebih awal, sejak 30 tahun lalu," katanya yang menyifatkan keluarganya bernasib baik kerana ketika kejadian cucu dan anaknya tidak bermain di luar.

Adik ipar Hussin, Roslan Mahmud, 46, berkata kereta yang diletakkan di bawah pokok dihempap tanah merah menyebabkan kenderaannya calar dan rosak di beberapa bahagian.

Katanya, apabila minta ditukar cat, pemaju perumahan itu hanya memberitahu beliau cuba mengambil kesempatan.

"Saya bukan sengaja menuntut ganti rugi tetapi kereta saya rosak dan calar di beberapa bahagian disebabkan kejadian itu.

"Kehidupan kami juga tidak tenteram selepas berlaku tanah runtuh. Nasib baik tiada sesiapa di luar rumah," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 23 JANUARI 2009

Tiada ulasan: