PENGUNJUNG SETIA

28 Januari 2009

IBU MENANGIS SEPANJANG JALAN

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my

DOA...Setiausaha JKKK Kampung Cherating, Ahmad Nizam Abdul Ghani (kiri) membaca doa buat Allahyarham Juazer Rizal sambil diaminkan ahli Kelab Motokar Parit Raja, semalam.

KUANTAN: Ibu mangsa lemas yang bergegas ke Pantai Cherating berhampiran Kampung Budaya, dekat sini, kelmarin, dikatakan menangis sepanjang perjalanan dari rumahnya di Parit Raja, Gersik, dekat Muar.

Sebaik tiba di tempat kejadian kira-kira jam 7.30 malam, Rofiah Alil, 52, ibu kepada Juazer Rizal Shalehuddin, 22, enggan keluar dari kereta walaupun berulang-kali dipujuk anggota keluarga dan rakan arwah anaknya untuk meninjau operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan pihak berkuasa.

Juazer Rizal, juruteknik sebuah kilang elektronik di Tangkak, Johor, difahamkan menyertai konvoi berkereta anjuran Kelab Motokar Parit Raja dan berkelah satu malam di pantai berkenaan sempena cuti Tahun Baru Cina.

Seramai 70 ahli kelab berkenaan membabitkan 25 kereta berlepas dari Parit Raja, Ahad lalu.

Pelepasan konvoi itu turut diraikan pada majlis yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Tahir Mohd Taat di Balai Raya Parit Raja.

Penganjur, Mohamed Azlan Jaafar, berkata konvoi itu tiba di Pantai Cherating kira-kira jam 3 petang, kelmarin, sebelum merancang pelbagai aktiviti sepanjang dua hari satu malam di pantai berkenaan.

“Namun, kami tidak menyangka aktiviti percutian hari keluarga bagi merapatkan hubungan sesama ahli kelab berakhir dengan tragedi yang meragut nyawa seorang peserta.

“Malah, saya juga kehilangan sahabat karib yang dikenali sejak kecil. Kami bukan saja tinggal sekampung, malah bersekolah sama walaupun arwah lebih muda daripada saya,” katanya yang tidak menyangka kunjungan kali pertama ke Pantai Cherating meninggalkan kenangan pahit apabila seorang peserta lemas.

Sebelum kejadian, dia berkata, arwah sudah dua kali mandi di pantai itu.

Mangsa lemas akibat ditarik ombak besar ketika mandi untuk kali ketiga bersama seorang rakan kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, kedudukan mereka berenang agak jauh daripada kumpulan lain, justeru dia mengarahkan arwah dan rakannya segera ke pantai.

“Sebelum tiba di kawasan berteluk, mereka dipukul ombak besar sebelum ditarik semula ke laut. Rakan arwah dapat berenang kembali ke kawasan cetek dan sempat memegang tangan arwah, namun terlepas dan arwah hanyut,” katanya.

Dia menghubungi ketua kampungnya supaya memaklumkan kejadian itu kepada keluarga Juazer Rizal.

“Arwah anak sulung daripada tiga beradik, tonggak keluarganya berikutan bapanya tidak boleh bekerja kerana sakit. Sebab itu, ibu arwah sedih dengan pemergiannya yang juga anak lelaki tunggal dan satu-satunya tempat keluarga bergantung,” kata Mohamed Azlan.

Dia bersama keluarga arwah dan peserta konvoi menunggu di tepi pantai sepanjang malam, malah menumpang kanopi yang dipinjamkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cherating.

Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Zainal Abidin Mat, melawat tempat kejadian selain menghulurkan sumbangan makanan.

Mayat Juazer Rizal ditemui terdampar jam 8.05 pagi semalam di pantai berhampiran sebuah hotel, kira-kira lima kilometer dari lokasi dihanyutkan ombak.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman (HK) untuk dibedah siasat sebelum dibawa pulang kira-kira jam 1.30 tengah hari, semalam.

Sementara itu, seorang lagi mangsa lemas di tempat sama adalah murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Mohd Hafiz Abdul Aziz, 13.

Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 2.50 petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang berkelah bersama keluarganya mandi bersama bapa, Abdul Aziz Sulaiman, 30-an, abang, Mohd Izuddin, 16, dan adik, Mohd Aiman, 10, sebelum mereka hanyut.

SUMBER: HARIAN METRO, 28 JANUARI 2009

Tiada ulasan: