PENGUNJUNG SETIA

27 Januari 2009

PENUNGGANG MOTORSIKAL TERBUNUH, PEMBONCENG PATAH KAKI

Mayat mangsa (ditutup plastik hitam) menunggu pihak polis sebelum dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Orang ramai melihat kemalangan tersebut di selekoh Jalan Sagil - Bukit Gambir dekat Kampung Parit Kassan. (Gambar AdiSabariman:iNFOLEDANG)

LEDANG: Seorang penunggang motorsikal terbunuh manakala pemboncengnya patah kaki selepas terbabit dalam kemalangan dekat Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, di sini kira-kira jam 6 petang tadi.

Mangsa (identiti masih tidak diketahui), seorang pemuda India berasal dari Bukit Pasir, Muar, dalam perjalanan pulang dari pusat perkelahan Gunung Ledang bersama tiga lagi rakannya dengan menaiki dua buah motorsikal.

Menurut rakan mangsa, dia terlajak ke jalan Parit Rabu ketika tiba di simpang tiga berhampiran Sekolah Agama Parit Kassan manakala mangsa dan pemboncengnya membelok ke kiri ke arah Bukit Gambir.

Selepas menyedari tersalah jalan, beliau berpatah balik dan apabila tiba di selekoh mendapati dua rakannya terbabit kemalangan.

Motorsikal yang dipandu mangsa tidak dapat dikawal lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera teruk di kepala dan muka.

Beliau cuba diselamatkan oleh penduduk kampung tetapi meninggal dunia di tempat kejadian mankala rakan mangsa yang membonceng motorsikal tersebut patah kaki dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Mayat mangsa dihantar ke HPSF untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar menasihati pemandu kenderaan yang melalui Jalan Sagil ke Bukit Gambir terutama berhampiran selekoh tersebut supaya berhati-hati dan memperlahankan kenderaan mereka.

Menurutnya, beberapa kemalangan kerap berlaku di selekoh tersebut terutama bagi pemandu yang pertama kali melalui jalan tersebut dari arah Sagil, apabila kenderaan dipandu laju dan tiba di selekoh tersebut tidak dapat mengawalnya lalu terbabas.-iNFOLEDANG

Tiada ulasan: