PENGUNJUNG SETIA

07 Januari 2009

PENEROKA TERKEJUT DIMINTA BAYAR TUNGGAKAN BAJA

MUAR 6 Jan. - Lebih 200 peneroka Felda Sri Jaya, Bukit Serampang terkejut apabila mendapati mereka terpaksa membayar tunggakan pembayaran baja berjumlah antara RM1,000 hingga RM3,000 sedangkan tidak pernah mendapat penjelasan mengenai perkara tersebut.

Bayaran tunggakan yang dikenakan pihak pengurusan Felda itu dikatakan tunggakan terkumpul sejak tahun 1998, namun ia tidak pernah tertera dalam penyata bulanan yang diterima mereka sebelum ini.

Menurut wakil peneroka, Md. Yassin Sidin, pihaknya meragui kesahihan tunggakan tersebut kerana tiada penjelasan konkrit diberikan mengenainya.

"Mengapa selama ini tidak pernah tunggakan tersebut wujud dalam penyata bulanan kami sejak tahun 1998.

"Hanya selepas 10 tahun timbul perkara ini sedangkan para peneroka kini terpaksa menghadapi penurunan harga getah dan kelapa sawit yang teruk serta keadaan ekonomi gawat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, walaupun telah ada perjumpaan dibuat dengan pihak pengurusan Felda Sri Jaya, namun tidak semua peneroka dijemput hadir malah penjelasan pun tidak lengkap.

"Malah difahamkan, data-data pengeluaran dan penerimaan baja peneroka-peneroka sebelum tahun 2003 tidak ada dalam simpanan pengurusan," dakwanya yang juga peneroka asal kawasan rancangan tersebut pada tahun 1962.

Katanya, disebabkan masalah tersebut, dia sendiri kini dikenakan potongan sebanyak RM30 sebulan bagi melunaskan jumlah keseluruhan tunggakan sebanyak RM1,287.

"Kami para peneroka amat tertekan dengan keadaan ini, malah ada peneroka yang dikenakan tunggakan sehingga RM3,000," katanya.

Justeru, beliau berharap pihak Ibu Pejabat Felda menyiasat masalah tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap masalah berkenaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 7 JANUARI 2009

Tiada ulasan: