PENGUNJUNG SETIA

04 Januari 2009

GURU MAUT

Oleh ZALIFAH MOHD YATIM
zalifah@hmetro.com.my

REMUK... keadaan Perodua Kelisa yang dirempuh sebuah pacuan empat roda menyebabkan kematian seorang guru di Batu 11½, Jalan Muar — Tangkak, kelmarin.

TANGKAK: Seorang guru muda yang dalam perjalanan untuk bercuti hujung minggu di kampungnya di Serom 3, dekat sini, maut selepas Perodua Kelisa yang dipandu teman lelakinya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan di Batu 11 ½, Jalan Muar — Tangkak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang di kawasan laluan yang sedang dinaik taraf itu, Kek Chiang Lian, 24, guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Connaught 2, Cheras, Selangor, maut di tempat kejadian.

Kemalangan itu turut menyebabkan teman lelaki Kek yang dikenali sebagai Ngan Zhen Hai, 21, dan penunggang motosikal, Rosli Ismail, 40, kakitangan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), cedera parah.

Saksi, Ibrahim Muda, 50, berkata sebelum kejadian beliau memandu Mitsubishi Storm dan anak saudara yang memandu Mitsubishi Triton berkonvoi dari Batu Pahat untuk balik ke kampung di Terengganu.

Katanya, sebaik tiba di satu kawasan yang sedang dinaik taraf, dia nampak kon penanda di laluan bersebelahan dilanggar kereta Kelisa yang datang dari arah Tangkak sebelum terbabas masuk ke laluan yang dibaik pulih.

“Sebaik terbabas, saya lihat kereta itu cuba masuk semula ke laluan asalnya, tetapi terlajak dan masuk ke laluan bertentangan.

“Berikutan itu, anak saudara saya yang memandu Mitsubishi Triton di depan saya tidak sempat mengelak dan merempuh kereta Kelisa berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Ibrahim, sebuah motosikal yang ada di belakang Perodua Kelisa itu turut terbabit dalam kemalangan itu, menyebabkan penunggangnya cedera parah.

Mayat Kek dihantar ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat sebelum dituntut warisnya, semalam, manakala penunggang motosikal yang dirawat di HPSF dan kini stabil.

SUMBER: METRO AHAD, 4 JANUARI 2009

Tiada ulasan: