PENGUNJUNG SETIA

19 Januari 2009

JUITA BUKA PUSAT JAGAAN ANAK

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Program selepas waktu sekolah diperkenalkan di JB dan Gelang Patah

TANGKAK: Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Johor (Juita) akan membuka dua pusat jagaan anak selepas waktu persekolahan bagi memudahkan ibu bapa berpendapatan rendah yang bekerja menempatkan anak mereka.

Yang Dipertuanya, Prof Datin Paduka Dr Jamilah Ariffin, berkata program itu dijangka dilaksanakan pertengahan tahun ini, di Jalan Petri di Johor Bahru dan Gelang Patah.

Beliau yang juga isteri Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pembukaan dua pusat jagaan itu diharap dapat membantu ibu bapa yang kedua-duanya bekerja, sekali gus mengelak kejadian culik atau hilang apabila anak mereka terpaksa tinggal bersendirian di rumah selepas waktu persekolahan.

"Pembukaan pusat jagaan itu adalah program terbaru Juita untuk membantu ibu bapa berpendapatan rendah menempatkan anak mereka selepas waktu persekolahan iaitu antara jam 1.30 petang hingga 6.30 petang," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Juita Sempena Tahun Baru Cina dan Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir Daerah Ledang, di Dewan Jubli Intan, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Abdul Ghani; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee dan Adun Gambir, M Asojan.

Pada majlis itu, seramai 100 orang masyarakat Cina dan 228 keluarga mangsa banjir menerima sumbangan wang tunai keseluruhan berjumlah RM42,000 serta hamper.

Dr Jamilah berkata, pada masa ini, kerja mengubah suai sebuah kuarters kerajaan di Jalan Petri sedang giat dijalankan dan pihaknya menjangkakan ia dapat memuatkan kira-kira 40 kanak-kanak yang dikenal pasti di sekitar Johor Bahru.

Katanya, mengikut perancangan, semua kanak-kanak ditempatkan di pusat jagaan itu secara percuma yang turut menyediakan makan tengah hari dan akan memastikan murid menyiapkan kerja sekolah selain menjalankan kegiatan riadah.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mendapat sumbangan sebuah van daripada sebuah syarikat pemaju hartanah bagi mengambil kanak-kanak terbabit di sekolah masing-masing.

Jamilah berharap langkah Juita menyediakan pusat jagaan berkenaan dicontohi pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mengambil langkah sama bagi menyediakan kemudahan yang diperlukan masyarakat setempat.

SUMBER: BERITA HARIAN, 19 JANUARI 2009

Tiada ulasan: