PENGUNJUNG SETIA

04 Januari 2009

JOHOR SEDIA PERTIMBANG

MUAR: Kerajaan Johor mempertimbangkan cadangan pelaburan bernilai RM17 bilion oleh syarikat antarabangsa bagi pembinaan loji penapisan minyak di Teluk Ramunia, Kota Tinggi.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata kerajaan negeri akan mengkaji kesan kehadiran projek raksasa itu terhadap kehidupan nelayan dan pusat pelancongan di kawasan itu sebelum meluluskannya.

Beliau dimaklumkan mengenai cadangan pelaburan itu melalui surat dari Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) tiga hari lalu.

“Kerajaan negeri memang tiada masalah dalam menyediakan tapak untuk tujuan itu kerana kita masih mempunyai kawasan seluas 1,200 hektar untuk sektor industri di Teluk Ramunia,” katanya.

Abdul Ghani berkata demikian pada majlis ramah mesra dengan ketua Umno cawangan zon Kesang di Dewan Orang Ramai Taman Saujana, Kesang Batu 7 di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, kajian kesan industri perlu dijalankan kerana ia membabitkan penapisan minyak yang boleh menggugat pendapatan nelayan dan industri pelancongan jika berlaku pencemaran.

Abdul Ghani juga berkata, Johor masih menjadi pilihan pelabur asing walaupun dunia sekarang menghadapi kelembapan ekonomi berikutan krisis kewangan Amerika Syarikat.

Katanya, statistik menunjukkan 28 peratus atau hampir satu pertiga daripada nilai keseluruhan pelaburan terus ke negara ini bertumpu ke negeri ini.

Beliau juga berharap kerajaan pusat memberi perhatian terhadap projek- kecil dalam pakej peruntukan tambahan kedua bagi merangsang ekonomi yang akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak lama lagi.

Projek kecil itu penting untuk membolehkan kontraktor kelas F mendapat kerja, sekali gus dapat menggerakkan kegiatan ekonomi hiliran di peringkat akar umbi sebagaimana pernah dilaksanakan ketika Malaysia menghadapi kegawatan ekonomi pada 1997 dan 1998. — Bernama

SUMBER: METRO AHAD, 4 JANUARI 2009

Tiada ulasan: