ayu@nstp.com.my
KOBOI kerbau liar dan barongan mungkin tidak serancak mana atau sekadar tinggal nama jika program homestay tidak memberi ruang untuk kedua-dua acara ini mempamer keunikan masing-masing.
Homestay boleh dikatakan antara produk pelancongan cukup menonjol di Malaysia.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan homestay turut mengangkat sekali gus mempopularkan pelbagai warisan budaya dan tradisi penduduk setempat yang sesetengahnya berkemungkinan pupus.
Ini diakui Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Johor, Jabar Md Tahir yang menyifatkan program homestay nyata mampu menonjolkan pelbagai keunikan budaya masyarakat Darul Takzim termasuk tarian Bugis (popular di Tanjung Piai, Pontian) serta zapin dan kuda kepang yang sudah pun mencipta kepopularannya sendiri.
"Di samping mempamerkan pelbagai ciri kebudayaan setempat, homestay mengetengahkan industri kecil dan sederhana termasuk perusahaan kuih tradisional dan ternakan sebagai sebahagian daripada pakej produk pelancongan negeri ini.
"Sehingga kini, sambutan program amat menggalakkan sama ada daripada kumpulan sasaran iaitu pelancong luar negara mahupun pelancong domestik," katanya ketika ditemui di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.
Antara homestay yang aktif di Johor termasuk homestay Tanjung Piai, Pontian; Parit Bugis, Muar; Semenchu dan Temenin Baru, Kota Tinggi; Gunung Pulai, Johor Bahru serta Air Papan di Mersing.
Termasuk Batu Pahat, enam daerah mengambil bahagian dalam program homestay di Johor yang mula diperkenalkan sejak 1991.
Pada awalnya, hanya Kampung Perpat Timbul dan Kampung Serkat di Pontian memperkenalkan homestay namun kini, ia membabitkan seramai 451 peserta di enam daerah terbabit.
Sejak 2004 pula, Persatuan Homestay Negeri Johor ditubuhkan yang berfungsi mengendalikan kampung homestay berdaftar di negeri ini.
Jika koboi kerbau liar hutan mengundang minat pengunjung khususnya ketika menjelang raya korban di Kota Tinggi, Air Papan pula menanti pengunjung yang ingin mendekati kaedah penetasan telur penyu dan menyaksikan sendiri kemahiran beruk memetik buah kelapa.
Tarian masyarakat Jawa, barongan, yang memerlukan penarinya mengenakan topeng binatang boleh ditinjau di sekitar Batu Pahat.
Untuk mereka yang gemarkan kuih-muih tradisional sekali gus mendekati kaedah pembuatannya, Parit Bugis antara destinasi menarik.
Dalam tempoh terdekat, usaha ternakan kupang di Johor Bahru juga bakal menggamit kunjungan pelancong apabila ia diwartakan sebagai satu lokasi homestay terkini di negeri ini.
Penyertaan program homestay, menurut Jabar, dilaksanakan secara sukarela oleh kampung berkaitan apatah lagi ia membabitkan kerjasama seluruh penduduk kampung.
"Tiada paksaan untuk menyertai program ini manakala kampung yang berminat harus mengemukakan permohonan. Kerajaan turut menyediakan peruntukan untuk peserta dan wakil rakyat bagi memperbaiki kemudahan prasarana," katanya.
Pemilihan kampung pula antara lain berdasarkan lokasinya yang mudah dikunjungi, tarikan pelancongan serta produk setempat.
Tidak ketinggalan, aspek perpaduan, kerjasama dan keramahan penduduk kampung turut diambil kira.
Sehingga kini, sesetengah kampung yang menyertai program homestay turut meraih pelbagai gelaran termasuk kampung tercantik, Satu Daerah Satu Industri dan Kampung Gerakan Daya Wawasan.
Kehadiran pelancong luar negara rata-rata dari Singapura, Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia namun pelancong tempatan tidak ketinggalan memeriahkan lagi program homestay.
Malah adakalanya, menurut Jabar, jumlah pelancong domestik mencatatkan penyertaan lebih tinggi daripada pelancong asing.
Lantaran itu, katanya, program homestay bakal dijadikan produk utama pelancongan negeri ini terutama dengan maklum balas positif serta pertambahan bilangan kampung baru yang ingin berkongsi pertumbuhan pesat program berkenaan.
SUMBER: HARIAN METRO, 29 JANUARI 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan