PENGUNJUNG SETIA

22 Januari 2009

KRISIS EKONOMI: JTK BANTU 728 PEKERJA DIBERHENTIKAN

JOHOR BAHRU 21 Jan. - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi membantu menempatkan semula 728 pekerja yang hilang pekerjaan akibat krisis ekonomi global yang melanda negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains Teknologi dan Inovasi, M. Asojan berkata, ia adalah Jawatankuasa Pemantauan, Pemberhentian dan Penempatan Pekerja yang bertujuan untuk membantu menempatkan semula mereka yang diberhentikan kerja berdasarkan kemahiran serta pengalaman.
Beliau berkata, JTK akan menyalurkan dan memadankan mereka berdasarkan kekosongan kerja dalam jawatan yang sesuai.
''Mereka yang hilang pekerjaan ini hendaklah datang mendaftar di JTK dan kita akan membantu mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan minat serta kemahiran mereka dan jika mereka tidak mempunyai kemahiran, kita akan tempatkan mereka di bawah satu skim latihan khusus.
''Ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membela nasib rakyatnya yang hilang pekerjaan kesan daripada kemelesetan ekonomi sejak kebelakangan ini," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Asojan berkata, melalui jawatankuasa itu, JTK akan mendapatkan maklumat berkaitan pekerja terbabit dan memberi latihan kemahiran yang diselaraskan dengan keperluan peluang pekerjaan yang sedia ada.
''Kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukan sebanyak RM170 juta bagi tujuan penyediaan program latihan untuk membantu mengisi kekosongan jawatan mengikut sektor yang memerlukan,'' katanya.
Beliau memberitahu, sehingga hari ini masih terdapat sejumlah 1,334 peluang pekerjaan dalam sektor pertanian dan pembinaan di Johor.
Menurutnya, daripada jumlah itu hanya 88 kekosongan telah diisi melalui bantuan jawatankuasa tersebut.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 JANUARI 2009

Tiada ulasan: