PENGUNJUNG SETIA

01 Januari 2009

PERSATUAN PENULIS JOHOR SOKONG PENDIRIAN GAPENA

Oleh Amad Bahri Mardi
bhnews@bharian.com.my

Gesa kerajaan henti guna bahasa Inggeris dalam Sains, Matematik

PONTIAN: Persatuan Penulis Johor (PPJ) menyokong penuh pendirian Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang menentang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), termasuk bertindak membawa isu itu ke mahkamah.

Ketua 1 PPJ, Amiruddin Md Ali Hanafiah, berkata ahli jawatankuasa dan ahli PPJ sebulat suara menggesa Kementerian Pelajaran menghentikan PPSMI dan mengembalikan semula pengajaran dua subjek itu dalam bahasa Melayu.

Beliau berkata, pihaknya mahu kerajaan dan Kementerian Pelajaran berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, yang menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan negara ini.

“PPJ menyokong cadangan Gapena untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran jika meneruskan dasar itu pada sesi persekolahan 2009.

"Walaupun sesetengah pihak mengatakan tindakan Gapena agak terlewat, langkah drastik itu wajar dipuji dan semua pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam negara ini mesti berdiri teguh di belakang Gapena,” katanya ketika mengemukakan usul pada Mesyuarat Agung PPJ ke-31, di sini, kelmarin.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan.

Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya turut menyokong cadangan supaya PPSMI dihentikan dan bahasa Melayu dikembalikan semula dalam pembelajaran dan pengajaran kedua-dua mata pelajaran itu.

Beliau berkata, selepas enam tahun dilaksanakan, secara keseluruhan ternyata dasar itu lebih banyak merugikan terutama kepada orang Melayu dan bahasa Melayu.

Katanya, beliau yang berpeluang menyertai persidangan Meja Bulat anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia sudah beberapa kali menyarankan supaya dasar itu dihentikan.

“Di sekolah rendah memang dimulakan dengan dua mata pelajaran saja iaitu matematik dan sains. Tetapi, bila masuk sekolah menengah, sebanyak tujuh mata pelajaran sains dan matematik akan diajar dalam bahasa Inggeris.

“Jumlah pelajar kita yang tidak faham lebih ramai berbanding yang faham pengajaran oleh guru. Akhirnya pelajar itu yang rugi dan pencapaian pelajar akan terus merosot hingga ke peringkat pengajian tinggi,” katanya.

Sebagai ganti, beliau mencadangkan supaya subjek Keusahawanan diperkenalkan kepada pelajar dan diajar dalam bahasa Inggeris manakala waktu pengajaran dan latihan menguasai bahasa Inggeris mesti ditambah dan dipertingkatkan di semua peringkat pembelajaran.

“Subjek keusahawanan penting untuk menyediakan generasi akan datang menjadi ahli perniagaan hingga ke peringkat antarabangsa, sekali gus boleh menaik taraf ekonomi mereka dan memberi manfaat besar kepada negara” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 1 JANUARI 2009

Tiada ulasan: