PENGUNJUNG SETIA

05 Januari 2009

LEDANG AUTOSHOW 2009 MERIAH

Abd Rahman Ahmad (4 dari kanan) sedang melawat pameran kereta peserta pertandingan Ledang Autoshow 2009 di Kompleks Pasar Tani Bukit Gambir, semalam. (Foto: AdiSabarimanKreatif)

Abd Rahman sedang menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta Ledang Autoshow 2009 sambil diperhatikan Pengerusi FMC, Razali Yacob (2 dari kiri) selepas merasmikannya. (Foto: AdiSabarimanKreatif)

Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG (5 Jan): Program Ledang Autoshow 2009 anjuran bersama Faceless Motor Club (FMC) dan FAMA Daerah Muar, Ahad lalu mendapat sambutan meriah.

Program yang julung-julung kali dianjurkan itu berlangsung di Kompleks Pasar Tani Bukit Gambir dan telah dirasmikan oleh Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Abd Rahman Ahmad yang mewakili Ketua Pemudanya, Zaidi Abd Majid.

Dalam ucapan perasmian, Abd Rahman berkata, program yang dianjurkan ini merupakan tapak permulaan dan boleh dijadikan acara tahunan di kompleks ini bagi menarik pengunjung.

"Tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan program seumpama ini yang dapat menarik peminat kereta berkunjung ke kompleks ini," katanya.

Abd Rahman mengingatkan kepada para peserta supaya tidak mengenepikan keperluan keluarga, semata-mata memenuhi hobi atau minat terhadap permotoran.

Menurut beliau, seseorang boleh menggunakan 20 - 30% daripada pendapatan mereka untuk hobi dan selebihnya adalah untuk memenuhi keperluan keluarga.

Tambah beliau lagi, penganjuran program seumpama ini memerlukan semangat dan komitmen yang tinggi dan setiap kelemahan yang terdapat dalam program tersebut perlu dijadikan panduan untuk penambahbaikan program akan datang.

Sementara itu, Pengerusi FMC, Razali Yacob pula berkata, penganjuran program ini mendapat kerjasama pihak FAMA Daerah Muar yang menyediakan tempat untuk mengadakan program ini.

Katanya, sambutan yang diberikan oleh peserta pertandingan yang datang dari beberapa tempat seperti Johor Bahru, Pasir Gudang, Kluang, Batu Pahat, Muar, Melaka, Sepang, Selangor dan Perak memberikan semangat kepada penganjur untuk mengadakan lagi pada masa akan datang.

(Foto sekitar Ledang Autoshow 2009 boleh dilihat di Album Ledang Autoshow 2009)

Tiada ulasan: