PENGUNJUNG SETIA

04 Januari 2009

JOHOR KAJI BINA LOJI MINYAK DI TELUK RAMUNIA

MUAR 3 Jan. — Kerajaan Negeri Johor sedang mempertimbangkan cadangan pelaburan bernilai RM17 bilion oleh sebuah syarikat antarabangsa bagi pembinaan loji penapisan minyak di Teluk Ramunia, Kota Tinggi.

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata kerajaan negeri akan mengkaji kesan kehadiran projek raksasa itu terhadap kehidupan nelayan dan pusat-pusat pelancongan di kawasan tersebut sebelum meluluskannya.

Beliau dimaklumkan mengenai cadangan pelaburan itu melalui surat dari Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) tiga hari lepas.

“Kerajaan negeri memang tidak ada masalah dalam menyediakan tapak untuk tujuan tersebut kerana kita masih mempunyai kawasan seluas 1,200 hektar untuk sektor industri di Teluk Ramunia,” katanya.

Abdul Ghani berkata demikian pada majlis ramah mesra dengan ketua-ketua UMNO cawangan zon Kesang di Dewan Orang Ramai Taman Saujana, Kesang Batu 7 di sini lewat petang semalam.

Bagaimana pun katanya, kajian kesan industri perlu dijalankan kerana ianya melibatkan penapisan minyak yang boleh menggugat pendapatan nelayan dan industri pelancongan sekiranya berlaku pencemaran.

Abdul Ghani juga berkata, Johor masih menjadi pilihan pelabur asing walau pun dunia menghadapi kelembapan ekonomi berikutan krisis kewangan Amerika Syarikat.

Katanya statistik menunjukkan 28 peratus atau hampir satu pertiga daripada nilai keseluruhan pelaburan terus ke negara ini bertumpu ke negeri ini.

Beliau juga berharap kerajaan pusat memberikan perhatian terhadap projek-projek kecil dalam pakej peruntukan tambahan kedua bagi merangsang ekonomi yang akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi.

Projek-projek kecil itu penting untuk membolehkan kontraktor kelas F mendapat kerja dan sekaligus ia dapat menggerakkan kegiatan ekonomi hiliran di peringkat akar umbi sebagaimana yang pernah dilaksanakan semasa Malaysia menghadapi kegawatan ekonomi pada tahun 1997-1998 dahulu.

— BERNAMA

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 4 JANUARI 2009

Tiada ulasan: