PENGUNJUNG SETIA

10 Januari 2009

BERIBU-RIBU RAKYAT MALAYSIA BANTAH ISRAEL

demotangkak.jpg

MUAR 9 Jan 2009: SEBAHAGIAN daripada kanak-kanak yang menyertai demonstrasi mengecam tindakan Yahudi Zionis menyerang bumi Palestin di Dataran Ledang, Tangkak, Muar. Gambar dan Teks : Kamil Maslih Utusan Malaysia Muar.

demotangkak2.jpg

MUAR 9 Jan 2009: SEBAHAGIAN daripada orang ramai yang menyertai demonstrasi mengecam tindakan Yahudi Zionis menyerang bumi Palestin di Dataran Ledang, Tangkak, Muar.

demotangkak3.jpg

MUAR 9 Jan 2009: SEBAHAGIAN daripada orang ramai yang menyertai demonstrasi mengecam tindakan Yahudi Zionis menyerang bumi Palestin di Dataran Ledang, Tangkak, Muar.

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Ribuan rakyat negara ini tanpa mengira agama berhimpun secara aman selepas solat Jumaat di seluruh negara hari ini bagi membantah serangan rejim Zionis Israel terhadap bumi Palestin.

Selain mengutuk keras serangan ganas itu, mereka turut melakukan solat hajat meminta kesejahteraan bagi rakyat Palestin dan melakukan kutipan derma untuk membantu meringankan beban rakyat Palestin.

Di Kuala Lumpur, demonstrasi diadakan di lima lokasi iaitu di hadapan Masjid Negara, Masjid Jamek Kampung Baru, Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Kedutaan Mesir dan Masjid Kementerian Pertahanan.

Kira-kira 500 orang termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Mukhriz yang juga Penyelaras Aman Malaysia dan Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO berhimpun secara aman di Masjid Negara bagi menyatakan bantahan.

Di hadapan Kedutaan AS, kira-kira 5,000 ahli daripada 127 badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perarakan dan demonstrasi mengutuk kekejaman Israel yang menyerang dan membunuh rakyat Palestin.

Mereka turut membakar bendera Israel sebagai tanda marah kepada keganasan dan kezaliman yang dilakukan.

Perarakan itu juga bertujuan menghantar memorandum setebal tiga muka surat kepada Kedutaan AS yang diwakili oleh Pengerusi Gabungan NGO Malaysia Menentang Kezaliman ke atas Rakyat Palestin (Complete), Adnan Mohd. Tahir dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.

Sementara itu, kira-kira 2,500 orang menunaikan solat hajat selepas solat Jumaat di Masjid Wilayah di sini bagi memohon kesejahteraan untuk penduduk Palestin yang kini diserang oleh Israel.

Di PULAU PINANG, hampir 1,000 anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mengadakan demonstrasi secara aman dengan membawa sepanduk dan kain rentang mengecam Israel.

Perhimpunan yang diketuai Pengerusi Citizens International (CI), S. M. Mohamed Idris itu turut mengajak rakyat Malaysia memboikot barangan buatan Yahudi dan AS.

Sementara itu, lebih 1,000 pelajar dan kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) turut menyertai perhimpunan secara aman di pekarangan Masjid Al-Malik Khalid, USM kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Pengerusi Sekretariat Sukarelawan Rakan Muda USM, Mohd. Khairul Azhar Awam berkata, kutipan derma turut dijalankan dan pihaknya menyasarkan kutipan RM50,000 untuk disampaikan kepada Timbalan Naib Canselor, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak sebelum diserahkan kepada Wisma Putra.

Di MUAR, JOHOR, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) cawangan Tangkak telah menghimpunkan hampir 100 orang di Dataran Ledang.

Menurut penganjurnya, Yazid Atan, demonstrasi yang diadakan itu merupakan sokongan moral bagi warga Palestin yang dianiaya.

Di BEAUFORT, SABAH, 500 penduduk tempatan menyertai perhimpunan yang dianjurkan oleh Biro Penerangan dan Biro Keagamaan UMNO Bahagian Beaufort di perkarangan Masjid Daerah Beaufort selepas solat Jumaat.

Di KOTA BHARU, KELANTAN, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengetuai lebih 5,000 orang untuk berdemonstrasi secara aman.

Nik Aziz turut membakar dua patung yang memaparkan gambar Presiden Israel, Ehud Olmert dan Presiden AS, George W. Bush.

Malah, Sekretariat Misi Cakna Palestin meletakkan poster besar yang memaparkan gambar Bush dan Olmert di atas jalan pintu masuk beberapa buah masjid untuk dipijak sebagai tanda protes terhadap kezaliman rejim Zionis.

Ketika berucap, Nik Abdul Aziz menyeru semua rakyat menyokong saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya memboikot produk keluaran Israel dan AS.

Di Kuantan, seramai 4,000 pelajar dua buah institusi pengajian tinggi awam di sini turut mengadakan perhimpunan bagi membantah kekejaman Israel di Palestin.

Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan itu mengadakan perhimpunan berkenaan di perkarangan masjid universiti masing-masing selepas solat Jumaat.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 10 JANUARI 2009

Tiada ulasan: