PENGUNJUNG SETIA

03 Januari 2009

PEJABAT BARU MAJLIS DAERAH TANGKAK MULA OPERASI

MUAR 2 Jan. - Pembukaan pejabat Majlis Daerah Tangkak (MDT) di Pusat Perdagangan Maharani Rivera, Tanjung Agas, dekat sini diyakini dapat memberi kemudahan lebih efisien kepada para penduduk setempat di kawasan sekitar Mukim Kesang.

Dengan adanya pejabat berkenaan, para penduduk di kawasan tersebut kini tidak perlu lagi ke bandar Muar atau Tangkak untuk membuat urusan dan membayar cukai taksiran.

Majlis perasmian pejabat tersebut disempurnakan semalam oleh Pegawai Daerah Ledang yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak, Asmail Abdul Kadir.

Menurut Asmail, pembukaan pejabat tersebut dapat membantu para penduduk setempat membayar cukai taksiran dengan lebih mudah.

"Berdasarkan statistik, kawasan Kesang ini menempatkan sebanyak 4,881 pembayar cukai harta dan sebanyak 436 pembayar cukai perniagaan.

"Secara keseluruhannya, hasil yang dikutip bagi kawasan Kesang adalah sebanyak RM2.6 juta," katanya ketika berucap pada majlis perasmian pejabat tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk, Besah Ilyas, 53, berharap perkhidmatan yang lebih baik akan diberikan kepada orang ramai dengan pembukaan pejabat tersebut.

"Memang bagus pejabat itu dibuka di sini dan penduduk tempatan tidak perlu lagi terkejar-kejar untuk ke bandar Muar,'' katanya yang turut mengambil kesempatan untuk membayar cukai perniagaan di pejabat baru itu.

Katanya, pejabat baru MDT itu juga dijangka membantu mengurangkan masalah kesesakan yang sering berlaku di pejabat majlis daerah.

Seorang lagi penduduk, Zainah Mahmud, 59, gembira dengan kemudahan baru itu kerana ia memudahkan urusan mereka dengan MDT.

"Bila saya dapat tahu pejabat baru itu dibuka, memang saya terus datang ke sini untuk membayar cukai pintu rumah saya,'' katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 3 JANUARI 2009

Tiada ulasan: