PENGUNJUNG SETIA

18 Mei 2009

WARUNG MUSNAH DIHEMPAP POKOK KELAPA

Oleh ADI SABARIMAN


Aziz Komeng berdiri di hadapan warungnya yang musnah dihempap pokok kelapa dalam kejadian ribut di Kampung Parit Kassim, Bukit Gambir, semalam.

LEDANG 18 Mei - Seorang bapa tunggal kehilangan punca pendapatan apabila warungnya musnah dihempap sebatang pokok kelapa dalam kejadian ribut di Kampung Parit Kassim, Bukit Gambir, petang semalam.

Aziz Komeng, 45 berkata, beliau bersyukur kerana ketika kejadian warung itu ditutup kerana dia pergi ke majlis gotong-royong mendirikan balai untuk majlis perkahwinan di rumah jirannya.

Katanya, dalam kejadian jam 4.15 petang itu hujan lebat serta angin kencang turut menerbangkan khemah yang didirikan pada majlis gotong-royong tersebut.

"Alhamdulillah..saya bersyukur kepada Allah kerana masih melindungi saya. Kalau ketika itu saya masih berniaga sudah tentu kejadian buruk pasti menimpa saya serta pekerja dan pelanggan yang sedang minum di warung," katanya kepada
iNFOLEDANG ketika ditemui di tempat kejadian pagi tadi.
.
Aziz berkata, warungnya dibuka setiap hari mulai jam 7 pagi hingga 7 malam dan menjadi persinggahan para pelanggannya untuk sarapan pagi dan minum petang.

"Saya menutup warung jam 3 petang semalam bagi membolehkan saya menyertai gotong-royong malah persiapan untuk membuat roti canai bagi jualan keesokkan hari turut musnah. Bangunan warung dan peralatannya turut musnah dihempap pokok kelapa di belakang warung yang tumbang." katanya lagi.

Dalam kejadian itu, kos kerugian dianggarkan RM10,000 melibatkan bangunan dan peralatan yang musnah.

Menurutnya, kini dia dan empat orang pekerjanya kehilangan mata pencarian akibat kejadian malang itu.

Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Parit Kassim, Omar Mustari berkata, beliau bersimpati dengan kejadian yang menimpa Aziz dan telah berusaha menghubungi pihak-pihak yang berkenaan untuk membantu beliau.

Menurutnya, beliau telah memaklumkan kejadian itu kepada Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan.

Katanya lagi, Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Ledang, Othman Abd Kadir telah melawat tempat kejadian pagi tadi dan berusaha membantu Aziz yang kehilangan mata pencarian.



Adakah kelapa itu biji?
Ketahuilah jawapannya di Yahoo! Answers!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

semoga Ahli Parlimen & ADUN Bukit Gambir serta Kebajikan Masyarakat akan cepat bertindak untuk meringan segala yang berlaku kepada En Aziz....
: drp insan simpati