PENGUNJUNG SETIA

09 Ogos 2012

7,907 TERIMA DIVIDEN RISDA RM52.572 JUTA

LEDANG 8 Ogos - Seramai 7,907 peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) di negeri ini mendapat habuan duit raya dengan menerima dividen berjumlah RM52.572 juta daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan dan Korporatnya, Ahmad Sufi Alias berkata, pemberian dividen bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2012 itu membabitkan 5,841 peserta RTBB dan 2,066 peserta TSK.

Menurutnya, dividen itu membolehkan setiap peserta menerima purata keuntungan bagi 0.4 hektar kebun berjumlah RM1,350 dan setiap seorang secara purata memiliki 1.2 hektar tanah dengan nilai dividen RM4,050 seorang.

"Bagi program RTTB, Risda telah membangunkan tanah seluas kira-kira 7,268 hektar ladang getah dan kelapa sawit manakala kira-kira 1,115 hektar pula bagi program TSK di negeri ini.

"Keadaan harga getah dan sawit yang baik berjaya menjana keuntungan bagi ladang-ladang ini iaitu RTBB sebanyak RM35.920 juta pada tahun lalu hingga Jun tahun ini, manakala TSK pula sebanyak RM16.652 juta bagi tempoh yang sama," katanya pada Majlis Penyampaian Dividen RTBB, TSK dan Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) Peringkat Negeri Johor 2012 dan Majlis Berbuka Puasa di Tangkak di sini semalam.

Majlis dirasmikan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil dan Pengarah RISDA negeri, Omar Paimin.

Ahmad Sufi berkata, perolehan dividen atau keuntungan terkumpul itu adalah hasil usaha dua anak syarikat RISDA iaitu ESPEK Sdn. Bhd. yang membangunkan kawasan RTBB manakala RISDA Plantation Sdn. Bhd. untuk program TSK.

Pada majlis itu, RISDA Johor mengagihkan keuntungan terkumpul Projek AET sebanyak RM44,400 kepada 37 peserta program ternakan lembu bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil, selain aktiviti tanaman semula.

Katanya, setiap peserta menerima agihan RM1,200 iaitu bayaran bagi enam bulan terakhir tahun lalu dan projek ternakan lembu itu dijalankan secara integrasi bermula pada 2008.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, pihaknya akan menyarankan kepada setiap wakil rakyat di negeri ini supaya menggesa pekebun kecil di kawasan masing-masing menyertai semula program pembangunan Risda.

Beliau berkata, semua peluang tersebut perlu direbut pekebun kecil, selain terus bekerjasama dengan Risda bagi membolehkan tahap sosio ekonomi mereka dapat dipertingkatkan dan memodenkan sektor perladangan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 9 OGOS 2012

Tiada ulasan: