TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

30 Ogos 2012

PENGGUNAAN EM MASIH KURANG

LEDANG 29 Ogos - Hanya 300 daripada kira-kira 5,000 petani di daerah ini yang menggunakan mikroorganisma efektif (EM) untuk meningkatkan produktiviti tanaman dan mengawal penyakit ternakan sejak ia diperkenalkan tiga tahun lalu.

Pegawai Pertanian Daerah, Abdullah Rashidi berkata, jumlah itu yang hanya mencapai lima peratus penggunaannya masih terlalu rendah sedangkan kempen dan penjelasan mengenai kesan serta manfaat penggunaan EM telah dilakukan.

"Salah satu sebab petani tidak menggunakan EM kerana mereka tidak mahu menggantikan kaedah pertanian tradisional yang menggunakan racun dan baja dengan teknologi EM.

"Penggunaan EM adalah satu bentuk pertanian moden kerana ia lebih mesra alam, menjimatkan dan memberi impak untuk jangka masa yang panjang terhadap tanaman atau digunakan dalam sektor ternakan. 

"Mereka hanya menggunakannya apabila diberi secara percuma," katanya selepas mengiringi Pengarah Pertanian negeri, Adnan Mat Kassim melawat ladang ternakan dan kilang memproses EM di Felcra Kundang Ulu, dekat sini hari ini.

Abdullah berkata, penggunaan EM iaitu sejenis bakteria baik yang melawan dan mengawal bakteria jahat telah terbukti berkesan bagi merawat serta menyuburkan tanah dan menghilangkan penyakit cacing yang memakan akar pokok.

Selain itu, katanya, EM memberi daya tahan terhadap tanaman untuk melawan penyakit di samping menyingkirkan asid dan kandungan lain dalam tanah yang menyebabkan pokok tidak subur atau mati.

Menurutnya, penggunaan EM dengan cara semburan akan mengaktifkan bakteria baik itu yang bertindak 24 jam sehari tanpa henti dan pada peringkat awal semburan perlu dilakukan secara kerap mengikut kadar ditetapkan.

"Bagi sektor ternakan pula, EM boleh digunakan untuk ternakan komersial kambing, lembu, arnab, ayam, itik dan sebagainya dengan cara dimandikan atau diberi minum. Ternakan akan sihat dan gemuk," katanya.

Sementara itu, pemilik ladang tersebut, Azman Md. Rasip berkata, EM sudah diusahakannya sejak tiga tahun lalu dan penggunaan terhadap tanaman dan ternakan sememangnya berjaya meningkatkan hasil.

Jelasnya, salah satu kejayaan adalah dapat menghilangkan bau busuk kandang ternakannya selain mengekalkan kesihatan kerana ternakan seperti arnab atau kambing sangat sensitif dan mudah dijangkiti penyakit.

Azman berkata, setiap seliter botol EM dijual dengan harga RM5 dan penggunaanya tidak terhad untuk pertanian atau perladangan tetapi juga bagi menghilangkan bau busuk di rumah.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 OGOS 2012

Tiada ulasan: