PENGUNJUNG SETIA

02 Ogos 2012

DEBU MASUK RUMAH



Oleh Hai Rozzaman Jalal
bhjb@bharian.com.my

Kerja angkut tanah merah jejas kesihatan penduduk

Ledang: Penduduk Parit Kassan, di sini, bimbang pencemaran habuk dan debu, berpunca kerja mengangkut tanah merah sejak sebulan lalu di kawasan itu boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Kerja mengangkut tanah merah dari sebuah kuari di kampung itu ke projek pembangunan berhampiran menyebabkan pencemaran debu pada musim panas, selain mengotorkan jalan raya.

Penduduk, Zakaria Haiyun, 52, berkata setiap kali lori mengangkut tanah keluar ke jalan raya, debu merah berterbangan ke rumah penduduk yang terletak di tepi jalan.

Katanya, sikap kontraktor terbabit tidak menyiram jalan keluar masuk hingga berdebu, selain tidak membersihkan tanah yang tercicir menyebabkan penduduk kampung terpaksa menanggung risiko rumah dicemari habuk dan kesihatan terganggu.

“Sepanjang masa, saya kini terpaksa menutup tingkap dan pintu rumah bagi mengelakkan debu yang berterbangan masuk ke dalam rumah. Malah ketika ini, kesan debu jelas ketara pada lantai rumah apabila meninggalkan kesan tapak kaki setiap kali dipijak.

Atasi segera

“Pencemaran habuk dan debu tanah ini membuatkan anak saya mengalami semput dan kami meminta pihak kontraktor dapat mengatasi masalah ini segera apatah lagi ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya dalam pertemuan antara penduduk kampung bersama kontraktor terbabit untuk mengatasi masalah itu.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan dan Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar.

Asojan berkata, susulan perbincangan bersama, kontraktor pengangkutan terbabit bersetuju menyiram dan membersihkan tanah yang tercicir secara berkala bagi mengelakkan debu dan habuk berterbangan ke rumah penduduk.

“Bagi mengelakkan laluan lori pada waktu kemuncak murid balik dari sekolah, waktu rehat pemandu lori dianjakkan antara jam 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang untuk keselamatan penduduk kampong menjemput anak-anak.

“Penduduk kampung juga mahu pemandu lori memperlahankan kenderaan dan memandu secara berhemah bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk seperti kemalangan dan JPJ diminta membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J K K K ) P a r i t Kassan, Mohd Hamzah Basar berkata, penduduk tidak menolak p e m b a n g u n a n tetapi pihak terbabit perlu mengambil kira kesejahteraan dan keselamatan penduduk.

SUMBER: BH JOHOR, 02 OGOS 2012

Tiada ulasan: