PENGUNJUNG SETIA

12 Ogos 2012

'RASAI SUASANA AIDILFITRI'

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus; Mahaizura Abd Malik


LEDANG: "Saya terharu dengan kunjungan ini... terima kasih kepada Harian Metro kerana prihatin dengan nasib kami. Dengan adanya pemberian ini, dapatlah kami sekeluarga merasai suasana Aidilfitri seperti insan lain selepas beberapa tahun menyambutnya ala kadar," kata Fatimah Idris, 49, antara penghuni rumah dikunjungi dalam program Teman Sahur, Titipan Kasih Harian Metro, awal pagi semalam.

Fatimah dari kampung Parit Rasau, Tanjong Gading, di sini, antara 10 keluarga miskin dan kurang kemampuan menerima sumbangan makanan, keperluan harian dan bantuan Aidilfitri.

Menurut ibu lapan anak itu, sambutan Aidilfitri tahun ini lebih meriah dan bermakna buat mereka sekeluarga dengan adanya bantuan berkenaan.

Dia yang juga pembantu tadika di Tanjong Gading berkata, suaminya Azam Mohamad, 49, hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah menengah berhampiran rumah mereka.

"Pendapatan saya tidak sampai RM400 dan suami RM900 sebulan. Berikutan itu, kami perlu berjimat cermat dengan menggunakan wang untuk membeli keperluan utama saja, terutama perbelanjaan persekolahan tujuh anak kami.

"Alhamdulillah, saya anggap pemberian ini sebagai rezeki anak sempena Ramadan dan ia sekurang-kurangnya meringankan beban kami sekeluarga, terutama menjelang Aidilfitri," katanya.

Sementara itu, anak sulungnya, Mohd Solihin, 19, bercadang bekerja sambilan sebelum menyambung pelajaran selepas Aidilfitri bagi membantu menampung perbelanjaan keluarganya.

"Saya mahu bekerja bagi membantu adik yang masih bersekolah sambil mengumpul wang untuk menyambung pelajaran dalam bidang penyelenggaraan penyaman udara.

"Perancangan itu perlu memandangkan saya bukan daripada keluarga senang dan berhasrat menaik taraf hidup kami sekeluarga," katanya.

Program bermula jam 12 tengah malam hingga 3 pagi itu disertai Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar; Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat; Ketua Biro Harian Metro Johor, Nazarali Saeril serta Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Zulkifli Bamadhaj, Zulkifli Khalid.

Turut hadir dalam rombongan disertai 10 kenderaan berkonvoi itu ialah Penghulu Mukim Kesang, Ab Majid Mistam, ketua kampung serta pemimpin setempat dan kakitangan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP).

Rombongan berkenaan mengunjungi 10 rumah keluarga miskin, orang kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal di sekitar Kesang membabitkan Kampung Parit Bunga; Kampung Kesang; Kampung Tanjong Gading Barat; Kampung Tanjong Gading Timur dan Kampung Tanjong Agas.

SUMBER: METRO AHAD, 12 OGOS 2012

Tiada ulasan: