TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

03 Ogos 2012

NGO ISLAM, PEMUDA UMNO TERIMA MOHON MAAF

LEDANG 2 Ogos - Badan Kebajikan Imam-Imam Daerah Ledang, Jawatankuasa Imam-Imam Masjid Kariah Daerah Ledang serta Pemuda UMNO bahagian itu hari ini menerima permohonan maaf sebuah pusat tuisyen di Tangkak yang memaparkan karikatur menghina sahabat Nabi Muhammad SAW baru-baru ini.

Penerimaan permohonan maaf itu dilakukan dalam satu sidang akhbar di Pejabat UMNO di sini yang turut dihadiri Pengurus pusat tuisyen tersebut, Lim Lee Yee bersama tenaga pengajar yang bertanggungjawab menyediakan bahan atau nota ringkas menghina Islam, Fu Chong Yoong.

Pengerusi Badan Kebajikan Imam-Imam Daerah Ledang, Salimin Abd. Ghani berkata, pihaknya menerima permohonan maaf tersebut walaupun merasa cukup terhina dan kecewa dengan perbuatan ditunjukkan guru terbabit.

Penerimaan maaf itu katanya, adalah kerana umat Islam tidak pernah berdendam, namun, tidak akan menarik balik laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, di sini kelmarin.

"Kita memang rasa amat berat untuk memaafkan tetapi atas rasa kesedaran dan sifat pemaaf orang Islam, ini dilakukan. Laporan polis juga kita tidak tarik balik kerana biarlah ia menjadi peringatan kepada semua," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Ledang, Zaidi Abd. Majid berkata, pihaknya menerima permohonan maaf tersebut selepas melihat kesungguhan dan keikhlasan Chong Yoong.

"Kita harap mana-mana pihak yang ingin menghasilkan bahan pelajaran seperti ini supaya merujuk dahulu kepada orang Islam. Sekarang ini terlampau banyak penghinaan terhadap Islam sama ada sengaja atau tidak disengajakan," katanya.

Tegas Zaidi, pihaknya juga tidak akan menarik laporan polis tersebut kerana tidak mahu selepas ini terdapat pihak lain sewenang-wenangnya mempermainkan agama Islam.

Sabtu lalu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin mendedahkan perkara itu dalam satu sidang akhbar dan mendesak polis segera menyiasat selain menuntut pusat tuisyen tersebut memohon maaf.

Kebiadapan itu disedari apabila seorang pelajar sekolah menengah terjumpa nota tersebut di tepi longkang pusat tuisyen berkenaan pada 4 Julai lalu sebelum menyerahkan kepada salah seorang kakitangan Pejabat Agama Daerah Ledang sebelum satu laporan polis dibuat pada 26 Julai lalu.

Pusat tuisyen milik bukan orang Islam itu melukiskan 16 karakter sahabat nabi antaranya Zubir Al-Awwam dilukis dengan wajah khinzir, Amir Fuhairah diletakkan gambar wanita dengan bahagian dadanya terbuka dan ditutup dengan tulisan Cina, begitu juga lukisan Uthman Affan dikelilingi tiga wanita seolah-olah kaki perempuan.

Ekoran itu, Badan Kebajikan Imam-Imam Daerah Ledang, Jawatankuasa Imam-Imam Masjid Qariah Daerah Ledang, Pemuda UMNO Ledang dan Persatuan Guru-Guru al-Quran Ledang telah membuat laporan polis pada hari yang sama.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 OGOS 2012

Tiada ulasan: