TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

16 Ogos 2012

STATISTIK HANYA MENINGKAT 3 KES

Wartawan Sinar Harian
Statistik hanya meningkat 3 kes
Harun (kanan) bersama Haris (dua, kanan) beramah mesra dengan pengunjung pasar raya Giant pada Program Kepolisian Berprofil Tinggi, baru-baru ini.
 
LEDANG - Statistik jenayah di daerah ini hanya meningkat sebanyak tiga kes iaitu 288 berbanding 285 bagi enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kes curi motosikal adalah jenayah yang paling tinggi menyumbang kepada statistik tersebut iaitu sebanyak 70 peratus.

“Kebanyakannya dilakukan oleh mereka yang berumur antara 18 hingga 30-an yang majoritinya tidak bekerja.

“Mereka biasanya mencuri motosikal untuk kegunaan sendiri dengan melerai dan mengambil komponennya. Mereka guna sendiri dan ada juga dalam jumlah yang kecil menjualnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Kepolisian Berprofil Tinggi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini, baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengarah 1 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Haris Wong Abdullah sebelum melakukan lawatan di pekan Tangkak serta ke beberapa tempat tumpuan awam di daerah ini.

Katanya, kes kecurian motosikal di sini tidak melibatkan sebarang sindiket sebaliknya hanya kumpulan kecil yang biasanya mendapatkan komponen motosikal untuk tujuan merempit.

Beliau berkata, bagi membanteras kegiatan curi motosikal, pihaknya menubuhkan satu jawatankuasa yang melancarkan Ops Lejang 24 jam sehari terutama di lokasi yang sering menjadi tumpuan pencuri motosikal.

“Jawatankuasa ini terdiri daripada 10 anggota dan terbahagi kepada dua pasukan. Mereka akan membuat rondaan dan pemeriksaan secara rambang di atas jalan terhadap pemilik motosikal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu lebih 400 orang yang memiliki dan mengedar dadah ditahan sepanjang tempoh itu setelah usaha menggempur sarang-sarang penagih dilakukan.

Ditanya mengenai sekatan jalan raya dilakukan polis di laluan keluar Tol Plaza Tangkak yang sering mengakibatkan kesesakan di Jalan Segamat-Muar, beliau berkata, operasi dilakukan apabila berlaku kes tertentu.

Mengenai kebimbangan orang ramai jalan itu akan menjadi sesak sekiranya sekatan jalan raya dilakukan beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, Harun menjelaskan pihaknya akan menggunakan kaedah berkesan bagi menyuraikan aliran trafik.

SUMBER: SINAR HARIAN, 16 OGOS 2012

Tiada ulasan: