PENGUNJUNG SETIA

10 Ogos 2012

RM52.57j BANTU TANAM GETAH


Abdul Ghani (kanan) menyampaikan cek kepada peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) pada majlis Penyampaian Dividen RTBB, TSK, Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Berbuka Puasa Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak.
 [ FOTO HAI ROZZAMAN JALAL/BH ]


Oleh Hai Rozzaman Jalal
bhjb@bharian.com.my

7,907 peserta RTBB, TSK anggap dividen duit raya

Ledang: Seramai 7,907 peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) di negeri ini, menerima duit raya apabila dividen RM52.57 juta mula diagihkan.

Pemberian dividen itu dianggap duit raya berikutan ia diagihkan menjelang ketibaan Aidilfitri kepada peserta RTBB dan TSK oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (RISDA).

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan dan Korporat RISDA, Ahmad Sufi Alias berkata, setakat ini RISDA sudah membangunkan tanah seluas 7,268 hektar ladang getah dan kelapa sawit bagi program
RTBB, manakala 2,757 hektar pula bagi program TSK di negeri ini.

“Keadaan harga komoditi getah dan kelapa sawit yang baik berjaya menjana keuntungan iaitu bagi RTBB
sebanyak RM35.92 juta pada tahun lalu hingga Jun tahun ini.

“Bagi program TSK pula sebanyak RM16.652 juta keuntungan terkumpul bagi tempoh yang sama,” katanya pada majlis Penyampaian Dividen RTBB, TSK, Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Berbuka Puasa Negeri Johor, di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak.

Penghargaan kepada pekebun

Majlis penyampaian itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Johor, Asiah Md Ariff; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Pegawai Daerah, Ab Han Ramin dan Pengarah RISDA negeri, Omar Paimin.

Katanya, pemberian dividen itu sebagai penghargaan kepada pekebun kecil yang memberikan kepercayaan kepada anak syarikat RISDA, ESPEK Sdn Bhd dan RISDA Plantation Sdn Bhd menguruskan ladang mereka.

Penerima, Ambiah Samsi, 71, dari Kampung Hujung Tambak, Grisek, gembira apabila menerima dividen sebanyak RM3,700 hasil penyertaannya dalam program RTBB sejak 1991 di tanah seluas 1.11 hektar.

Jazuki Kairani, 67, dari Parit Haji Idris, Bukit Gambir, pula menyifatkan pemberian dividen itu adalah hasil keprihatinan kerajaan memainkan peranan penting dalam menjamin masa depan peserta di bawah RISDA.

“Saya bersyukur atas pemberian dividen RISDA ini dan akan menggunakannya untuk keperluan keluarga serta menggunakannya secara berjimat,” katanya.

SUMBER: BH JOHOR, 10 OGOS 2012

Tiada ulasan: