PENGUNJUNG SETIA

01 Ogos 2012

ISU KARIKATUR: GURU TUISYEN MOHON MAAF

Wartawan Sinar Harian

Mohd Nor (kanan) menegur Lee Yee (kiri) dan Chong Yong.
Mohd Nor (kanan) menegur Lee Yee (kiri) dan Chong Yong.
 
JOHOR BAHRU  – Pusat tuisyen di daerah Ledang yang mencetuskan kontroversi kerana menggunakan karikatur dalam nota ringkas subjek Sejarah tingkatan empat menghina sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW tampil membuat permohonan maaf, semalam.

Pengusaha pusat tuisyen, Lim Lee Yee, 26, hadir di Jabatan Pelajaran Johor di sini bersama guru terbabit, Ku Chong Yoong, 22, dan membuat permohonan maaf secara terbuka sambil disaksikan oleh Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Nor A Ghani.

Lee Yee berkata, segala alat bantu belajar serta proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dilakukan oleh setiap tenaga pengajar di pusat tuisyen itu akan dipantau dengan lebih teliti bagi mengelak berulang kejadian sama.

“Guru berkenaan (Chong Yoong) mengajar subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Subjek Sejarah hanya subjek tambahan yang diajar kepada pelajar tanpa mengambil yuran,” katanya.

Bagi Chong Yoong, dia sudah meminta semua pelajar memulangkan kembali nota ringkas yang diberikan bagi mengelakkan keadaan bertambah keruh.

“Saya meminta maaf kepada umat Islam terhadap tindakan saya yang tidak matang.

“Saya benar-benar ikhlas memohon maaf kepada semua umat Islam di Johor, Malaysia dan seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, Jabatan Pelajaran Negeri akan memberi surat peringatan dan amaran kepada pusat tuisyen serta guru terbabit.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sebuah pusat tuisyen di sini mencetuskan kontroversi apabila menggunakan karikatur dalam nota ringkas subjek Sejarah tingkatan empat, yang didakwa telah menghina sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW.

SUMBER: SINAR HARIAN, 01 OGOS 2012

Tiada ulasan: