PENGUNJUNG SETIA

03 Ogos 2012

AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP GURU, PUSAT TUISYEN

JOHOR BAHRU 2 Ogos - Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mengambil tindakan tegas terhadap guru dan pusat tuisyen yang mengedarkan nota ringkas subjek Sejarah yang memaparkan karikatur menghina sahabat Nabi Muhammad SAW baru-baru ini.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut berkata, perbuatan itu tidak boleh dimaafkan kerana telah menyentuh isu agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Menurutnya, perkara seperti itu bukanlah yang pertama berlaku tetapi telah berulang kali dan perlu dikenakan tindakan tegas sebagai iktibar kepada pihak lain.

"Saya akui negara ini mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, tetapi status Islam sebagai agama rasmi mesti dihormati dan difahami," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas tindakan guru di pusat tuisyen yang meminta maaf atas tindakan mereka yang didakwa menghina sahabat Rasulullah dalam bentuk karikatur.

Semalam, seorang guru, Fu Chong Yoong, 26 dan pemilik pusat tuisyen tersebut, Lim Lee Yee, 26, yang didakwa melakukan perbuatan itu di pusat tuisyen di Tangkak, Ledang membuat kenyataan memohon maaf dan menyesali kesilapan yang telah mereka lakukan.

Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), turut mendesak Jabatan Pelajaran Negeri Johor mengambil tindakan tegas terhadap guru pusat tuisyen tersebut. 

Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata, Perkasa tidak boleh menerima permohonan maaf guru terbabit kerana alasan yang diberikan oleh guru tuisyen itu tiada kaitan dengan mata pelajaran yang diajar.

''Apa kaitan melukis karikatur wajah sahabat Nabi Muhammad dengan khinzir dan karikatur tidak senonoh sahabat-sahabat Nabi Muhammad yang lain sebagai memudahkan pelajar memahami mata pelajaran sejarah? 

''Perkasa tidak boleh menerima langsung alasan guru dan pengusaha tuisyen terbabit. Kami mahu mereka ini diambil tindakan tegas,'' katanya dalam kenyataan. 

Syed Hassan mempersoalkan kenapakah Jabatan Pelajaran Johor begitu mudah menganggap isu yang melibatkan sensitiviti umat Islam telah selesai. 

Kata beliau, pihak jabatan tidak seharusnya sekadar mengambil tindakan dengan memberi surat amaran kerana isu berkenaan perlu ditangani dengan tegas.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 OGOS 2012

Tiada ulasan: