PENGUNJUNG SETIA

10 Ogos 2012

SEDIA BANYAK AKTIVITI

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


LEDANG: Program Titipan Kasih Harian Metro 2012 ketiga yang akan diadakan di Masjid At-Taqwa, Tanjong Gading, Kesang, di sini, esok, menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk penduduk setempat.

Bermula 10 pagi, pertandingan mewarna diadakan di perkarangan masjid disertai 50 murid Tadika Kemas daerah ini.

Turut berlangsung pada waktu sama ialah demonstrasi menggubah bunga dikendalikan pengajar dan penggubah bunga Ceqta Creative Gifts Flower & Hamper, Kathy Anita Nghalim.

Selepas Zuhur pula, orang ramai boleh menemui Ustaz Sharhan Shafie yang dikenali menerusi program Tanyalah Ustaz di TV9 dan Al Kuliyyah di TV3.

Sharhan akan berkongsi ilmu mengenai perubatan Islam dan memberi bantuan kepada masyarakat yang memerlukan.

Sharhan berkata, dia mengambil peluang mengambil bahagian untuk bertemu masyarakat kampung dan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Ini kerana, katanya, ada sesetengah penyakit tidak dapat dikesan doktor secara saintifik, namun ia ada pada tubuh seseorang dan hanya boleh diubati menggunakan kelebihan di dalam al-Quran.

"Apabila bersama Titipan Kasih, masyarakat kampung yang sering nampak saya dalam TV boleh mendekati saya dan dapat bertanya pelbagai soalan berkaitan perubatan Islam," katanya.

Selain itu, orang ramai terutama golongan wanita juga berpeluang mempelajari teknik solekan dan andaman yang betul daripada Kathy Anita berkonsepkan kemeriahan Aidilfitri.

Menurut Kathy Anita, sambutan pada program Titipan Kasih sebelum ini iaitu di Teluk Intan, Perak dan Sungai Petani, Kedah, amat menggalakkan kerana mendapat kerjasama penduduk kampung yang turut hadir mengikuti sesi demonstrasi dilakukan.

"Demonstrasi membabitkan dua rekaan gubahan bunga dan solekan gaya terkini itu memberi peluang kepada penduduk kampung mendapat idea menghias diri serta kediaman mereka.

"Jadi, kepada mereka berminat sila hadir beramai-ramai di Masjid At-Taqwa, Tanjong Gading, Kesang, esok untuk memperoleh maklumat berguna," katanya.

Sementara itu, Harian Metro akan mengunjungi rumah 10 keluarga kurang bernasib baik sempena program 'Mai Sahur' bermula jam 12 tengah malam, Sabtu ini.

Hari ini, Harian Metro akan membawa 100 anak yatim serta pelajar miskin dari empat sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kesang; SK Tanjong Gading; SK Parit Bunga dan Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Bunga ke Pasaraya Mydin di Ayer Keroh, Melaka untuk membeli pakaian raya.

SUMBER: HARIAN METRO, 10 OGOS 2012

Tiada ulasan: