PENGUNJUNG SETIA

06 Ogos 2012

STATISTIK JENAYAH HANYA MENINGKAT TIGA KES

Haris Wong Abdullah (dua dari kanan) diiringi Harun Idris bermesra dengan orang ramai di pasar raya Giant, Tanjung Agas, Ledang, semalam. 
 
LEDANG 5 Ogos - Statistik jenayah di daerah ini bagi enam bulan pertama tahun ini hanya meningkat sebanyak tiga kes iaitu 288 berbanding 285 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kes curi motosikal merupakan jenayah paling tinggi menyumbang kepada statistik tersebut iaitu sebanyak 70 peratus.

"Kebanyakannya dilakukan oleh mereka berumur antara 18 dan 30-an yang majoritinya tidak bekerja. Mereka biasanya mencuri motosikal untuk kegunaan sendiri dengan melerai dan mengambil komponennya.

"Mereka guna sendiri dan ada juga dalam jumlah yang kecil menjualnya," katanya pada sidang akhbar selepas Program Kepolisian Berprofil Tinggi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Pengarah 1 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Haris Wong Abdullah sebelum melakukan lawatan di pekan Tangkak serta ke beberapa tempat tumpuan awam di daerah ini.

Harun berkata, kes kecurian motosikal di sini tidak melibatkan sindiket, sebaliknya hanya kumpulan kecil yang biasanya mendapatkan komponen untuk tujuan merempit.

Beliau berkata, bagi membanteras kegiatan itu, pihaknya menubuhkan satu jawatankuasa yang melancarkan Ops Lejang terutamanya di lokasi yang sering menjadi tumpuan pencuri motosikal.

"Jawatankuasa ini terdiri daripada 10 anggota dan terbahagi kepada dua pasukan. Mereka akan membuat rondaan dan pemeriksaan secara rambang terhadap pemilik motosikal," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, lebih 400 orang yang memiliki dan mengedar dadah ditahan sepanjang enam bulan pertama tahun ini apabila pihaknya menggempur sarang penagih di daerah tersebut.

Ditanya mengenai sekatan jalan raya yang dilakukan di laluan keluar Tol Plaza Tangkak yang sering mengakibatkan kesesakan di Jalan Segamat-Muar, beliau berkata, operasi dilakukan apabila berlaku kes tertentu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 OGOS 2012

Tiada ulasan: