TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

01 Ogos 2012

IMAM BUAT LAPORAN POLIS

SALIMIN Abd. Ghani (tengah) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di IPD Ledang, Johor, semalam bagi mengecam tindakan sebuah pusat tuisyen menggunakan karikatur menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.
LEDANG 31 Julai - Badan Kebajikan Imam-imam Daerah Ledang dan Jawatankuasa Imam-imam Masjid Qariah Daerah Ledang, hari ini membuat laporan polis berhubung kegiatan sebuah pusat tuisyen di sini, yang menghina Islam dalam nota ringkas bagi mata pelajaran Sejarah tingkatan empat dengan memaparkan karikatur menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.

Laporan tersebut dibuat pukul 10.30 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang di sini dengan disertai oleh kira-kira 10 wakil badan tersebut yang diketuai oleh Pengerusinya, Salimin Abd. Ghani.

Salimin berkata, pihaknya membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pusat tuisyen berkenaan yang dianggap keterlaluan, biadab dan tidak boleh dimaafkan.

"Perbuatan ini jelas mengguris hati dan menyentuh sensitiviti umat Islam, khususnya di Ledang. Karikatur itu satu penghinaan terhadap Islam dan kami tidak rela agama ini dipermainkan sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya sangat terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara ini dan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kami tampil membuat laporan polis supaya tindakan dapat diambil," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sabtu lalu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin mendedahkan perkara itu dalam satu sidang akhbar dan mendesak polis menyiasat selain menuntut pusat tuisyen tersebut memohon maaf.

Perkara itu disedari 4 Julai lalu apabila seorang pelajar sekolah menengah terjumpa nota tersebut di tepi longkang pusat tuisyen berkenaan sebelum menyerahkan kepada salah seorang kakitangan Pejabat Agama Daerah Ledang (PADL) dan seterusnya laporan polis dibuat pada 26 Julai lalu.

Pusat tuisyen itu melukiskan 16 karakter sahabat Nabi, antaranya Zubir Al-Awwam dilukis dengan wajah khinzir, Amir Fuhairah pula diletakkan gambar wanita dengan bahagian dadanya terbuka dan ditutup dengan tulisan Cina, begitu juga lukisan Uthman Affan dikelilingi tiga wanita seolah-olah kaki perempuan.

Salimin berkata, tindakan pantas terhadap pusat tuisyen berkenaan perlu dilakukan dan hukuman setimpal wajar dikenakan sebagai pengajaran kepada bukan Islam yang menyakitkan hati umat Islam.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 01 OGOS 2012

Tiada ulasan: