PENGUNJUNG SETIA

17 Ogos 2012

LEBIH 100 MASJID DIBINA UNTUK MENJALANKAN AKTIVITI KEAGAMAAN

Wartawan Sinar Harian
Lebih 100 masjid dibina untuk menjalankan aktiviti keagamaan
Abdul Ghani menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anakanak Yatim Islam Ledang (Pkayil), baru-baru ini.
 
LEDANG - Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan tuntutan menegakkan syiar Islam secara berterusan tanpa menafikan hak orang bukan Islam untuk menganuti agama masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, dasar-dasar untuk menegakkan syiar Islam sentiasa dilakukan antaranya dengan pelbagai aktiviti atau amalan yang dilakukan selain pembinaan surau dan masjid.

Menurutnya, antara yang boleh dibanggakan sejak 15 tahun lalu ialah lebih 100  masjid telah dibina di seluruh negeri untuk keselesaan masyarakat Islam beribadah serta menjalankan  aktiviti keagamaan.

“Pembinaan masjid di seluruh negeri membuktikan kerajaan sentiasa memberi keutamaan menegakkan syiar Islam dan bersyukur kemudahan untuk beribadat dalam kalangan umat Islam sentiasa diberi keutamaan.

“Ia menjadi lambang wujudnya syiar Islam di merata tempat di Johor melalui pembangunan holistik bukan hanya dalam bentuk amalan tetapi juga pembinaan kemudahan lain seperti juga sekolah agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tadarus, Khatam al-Quran, Penyampaian Sumbangan Kepada Fakir Miskin dan Berbuka Puasa Umno Bahagian Ledang di Masjid Al-Amin, Bukit Kangkar, baru-baru ini.

Abdul Ghani berkata, tuntutan syiar Islam turut dilaksanakan dalam bidang pendidikan di mana terdapat kira-kira 220,000 murid belajar di 500 sekolah agama di negeri ini.

Selain pembangunan fizikal itu katanya, program membudayakan al-Quran yang diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak 1995 kini menjadi amalan umat Islam sepanjang masa di samping dapat mengimarahkan masjid dan surau dengan bacaan dan terjemahan kitab suci itu.

Pada majlis itu, Abdul Ghani turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada fakir miskin, murid kurang berkemampuan, ibu tunggal dan anak-anak yatim dalam Parlimen Ledang yang disumbangkan oleh beberapa individu dan golongan korporat di negeri ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan Negara, Senator Ahmat Yusop; Ketua Penolong Pegawai Daerah Ledang, Mustaffa Kamal Shamsuddin dan Naib Ketua Umno Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib.

SUMBER: SINAR HARIAN, 17 OGOS 2012

Tiada ulasan: