TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

08 Ogos 2012

TURUT SERTAI PROGRAM AMAL


MUAR: Syarikat Zulkifli Bamadhaj Sdn Bhd yang terkenal dengan produk keluaran jenama Petani, tampil menjayakan Program Titipan Kasih Harian Metro 2012 kali ketiga dengan menghulurkan sumbangan RM7,000.

Ketua Pegawai Operasinya, Zulkifli Khalid berkata, program Titipan Kasih Harian Metro mempunyai impak besar membantu insan kurang bernasib baik menjalani kehidupan seharian membabitkan anak yatim dan ibu tunggal.

"Untuk itu, kami berbesar hati menghulurkan sumbangan berupa hamper kepada 100 anak yatim, minuman serta produk keluaran syarikat kepada keluarga miskin, orang kurang upaya dan ibu tunggal di Mukim Kesang, Ledang.

"Sebagai syarikat Bumiputera tempatan, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk turut sama menjayakan program seperti itu dan mengajukan sumbangan kepada pihak yang benar-benar layak.

"Selain itu, kami tertarik dengan program kelolaan akhbar Harian Metro yang sangat elektif serta tersusun menyebabkan kami ingin mengambil bahagian dalam program amal terutama menyalurkan sumbangan kepada insan kurang berkemampuan," katanya.

Zulkifli menyerahkan sumbangan kepada Eksekutif dan Pemasaran Iklan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Muar, Mohd Nazri Mahmud yang mewakili Harian Metro di pejabatnya, di Kawasan Perindustrian Bukit Bakri di sini, semalam.

Menurut Zulkifli, program itu memberikan syarikatnya peluang berbakti kepada masyarakat setempat.

"Kami berbesar hati menyumbangkan produk kami kepada program ini kerana ia dapat membantu meringankan beban anak yatim yang diraikan pada Ramadan ini.

"Diharapkan sumbangan diberikan itu dapat membantu menceriakan sambutan Aidilfitri mereka (anak yatim)," katanya.

Program Titipan Kasih Harian Metro akan diadakan di Masjid Jamek At-Taqwa, Batu 5, Tanjung Gading, Kesang, Sabtu ini.

SUMBER: HARIAN METRO, 08 OGOS 2012

Tiada ulasan: