PENGUNJUNG SETIA

14 Ogos 2012

KUALITI PENDIDIKAN ISLAM PERLU DITINGKAT, TITAH SULTAN JOHOR

MOHD FIRDAUS YON

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Kualiti pendidikan Islam perlu ditingkat, titah Sultan Johor
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima cenderahati daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
 
JOHOR BAHRU - Dalam suasana dunia yang semakin terbuka dan mencabar, kualiti pendidikan agama Islam perlu dipertingkat dan pengurusan agama juga perlu dijalankan dengan lebih tersusun, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Baginda bertitah, tumpuan perlu diberikan bukan sahaja kepada pelajaran dan kurikulum pelajar, tetapi juga kemudahan tempat belajar yang selesa.

“Pengurusan yang cekap dan keupayaan tenaga pengajar yang cemerlang perlu diberikan perhatian yang serius,” titah baginda pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pendaftaran Sekolah-Sekolah Agama Negeri Johor Sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini,
hari ini.

Pada majlis itu, termeterainya perjanjian pendaftaran lapan buah Sekolah Agama Rendah Agama Bersepadu dan 20 buah Sekolah Menengah Agama di negeri ini sebagai SABK di bawah Kementerian Pelajaran.

Turut berangkat tiba ke majlis berkenaan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggung Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Ali Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil dan Mufti Negeri Johor, Datuk M Tahrir Shamsudin.

Sultan Ibrahim bertitah, perjanjian persefahaman yang ditandatangani bukan bermakna penyerahan kuasa Kerajaan Negeri dalam bidang pendidikan agama di negeri ini kepada Kerajaan Persekutuan, tetapi ia untuk membolehkan Kementerian Pelajaran menyalurkan bantuan dan meringankan beban kewangan Kerajaan Negeri.

“Saya amat menghargai usaha Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan kualiti pendidikan agama Islam di negeri ini.

“Dengan persefahaman termeterai kelak, saya dimaklumkan bahawa kerajaan persekutuan akan memberikan bantuan modal dan peruntukan yang khusus kepada 28 buah sekolah Sekolah Rendah Agama Johor dan Sekolah Menengah Agama Johor yang disenaraikan sebagai SABK,” titah baginda.

Baginda bertitah, kuasa mutlak Raja sebagai Ketua Agama Negeri Johor tidak akan tergugat atau terjejas dengan perjanjian berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah, segala tindakan yang hendak dilakukan oleh Kementerian Pelajaran kepada SABK selepas termeterainya perjanjian itu perlu dibuat mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 Bahagian Pendidikan Islam dan perlu disembahkan kepada Sultan Johor terlebih dahulu.

“Jika saya lihat terdapat perlanggaran syarat, maka saya akan membatalkan perjanjian ini dengan serta merta. Adalah menjadi tanggungjawab dan amanah saya untuk menjaga kepentingan agama Islam dan rakyat negeri saya.

“Saya akan sentiasa memastikan keutamaan diberikan kepada rakyat negeri Johor. Sebagai contoh, pelantikan pengetua, guru besar dan guru-guru kanan hendaklah dilantik daripada kalangan rakyat negeri Johor.

“Walau
bagaimanapun Kerajaan Persekutuan boleh mencadangkan calon yang lain jika sudah tiada guru-guru yang berasal dari negeri Johor. Itu pun terpulang kepada saya untuk perkenan,” titah baginda.

Titah baginda lagi, segala usaha yang hendak dibuat oleh mana-mana pihak untuk meningkatkan pembangunan dan kualiti taraf pendidikan Islam di negeri ini amat dialu-alukan.

Bagaimanapun, apa-apa hasrat atau dasar yang hendak digubal mestilah sesuatu berfaedah kepada masyarakat umum dan tidak akan melemahkan kuasa Raja sebagai Ketua Agama Islam negeri.

“Sekiranya ada pihak yang betul-betul ikhlas untuk memberi sumbangan bantuan, silalah menghulurkan bantuan tersebut tanpa meletakkan apa-apa syarat demi untuk pembangunan agama Islam di negeri Johor,” titah baginda.

SUMBER: SINAR HARIAN, 14 OGOS 2012

Tiada ulasan: