PENGUNJUNG SETIA

15 Ogos 2012

JURUTEKNIK, TUKANG CAT DITAHAN

Wartawan Sinar Harian

Harun (kanan) menunjukkan mercun dan bunga api bernilai RM30,000 yang dirampas berikutan penahanan d
Harun (kanan) menunjukkan mercun dan bunga api bernilai RM30,000 yang dirampas berikutan penahanan dua lelaki di Sungai Mati, 7 Ogos lalu.
 
LEDANG - Seorang juruteknik audio sebuah kilang ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang kerana memiliki 430 kotak mercun dan bunga api  pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM30,000 pada 7 Ogos lalu.

Suspek berusia 22 tahun itu ditahan bersama seorang rakannya berumur 20 tahun yang bekerja sebagai tukang cat kira-kira jam 4.30 petang dalam sebuah rumah di Kampung Serom 3, Sungai Mati, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, ketika ditahan suspek sedang leka membungkus mercun yang dipercayai untuk diagihkan kepada peniaga sekitar daerah ini.

Menurutnya, mereka ditahan susulan tangkapan dua beradik di Sungai Mati kerana memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM10,000 minggu lalu.

Jelasnya, penahanan dua beradik itu memudahkan polis menjejaki suspek yang dipercayai menjadi pembekal bahan terlarang berkenaan kepada peniaga sekitar daerah ini.

“Hasil siasatan mendapati, kedua-dua suspek baru sahaja terlibat dalam kegiatan mengedar bahan terlarang ini sempena sambutan Aidilfitri hujung minggu ini.

“Selain sejumlah mercun, polis turut merampas beberapa buku resit yang digunakan semasa proses jual beli bahan berkenaan,” katanya pada sidang media di IPD Ledang, semalam.

Harun berkata, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 11 Ogos lalu dan hasil ujian air kencing ke atas suspek berusia 20 tahun mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Tambahnya, polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti pembekal sebenar bahan terlarang itu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, boleh diperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam pada itu, Harun turut mengulas penemuan mayat seorang lelaki warga Nepal dalam sebuah ladang kelapa sawit di Gersik, kelmarin.

“Mangsa berumur 20 tahun bekerja di sebuah kilang perabot berhampiran lokasi mayatnya ditemui awam, kira-kira jam 9 pagi.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan, suspek berusia 24 tahun juga warganegara Nepal telah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN 15 OGOS 2012

Tiada ulasan: