PENGUNJUNG SETIA

07 Ogos 2009

18 KAMPUNG DALAM DUA HARI




Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my

JELAJAH Johor 2009 ke Muar dan Ledang, baru-baru ini memberi pengalaman baru kepada 60 anak muda dari pelbagai latar belakang termasuk pemilik kereta Perodua Myvi apabila mereka didedahkan dengan kehidupan masyarakat luar bandar di utara Johor.

Pengembaraan dua hari membabitkan 26 kenderaan termasuk 23 Perodua Myvi itu memberi peluang peserta melihat sendiri pembangunan dan kehidupan masyarakat di 18 kampung di Muar dan Ledang.

Program anjuran Unit Media dan Komunikasi (Medkom) Pejabat Menteri Besar Johor dengan kerjasama Kelab Myvi Extreme (Selatan) yang turut disertai penulis dan jurugambar persendirian itu disambut meriah masyarakat setiap kampung yang disinggahi, sekali gus mewujudkan suasana kemesraan.

Perjalanan bermula sebaik selesai sesi pendaftaran dan penerangan di tempat letak kereta Danga Festive Street Mall seawal jam tujuh pagi sebelum menuju ke Nasuha Herb & Spices, Pagoh.

Kemudian, peserta yang dibahagikan kepada lima kumpulan itu berpecah ke destinasi masing-masing bagi menjalankan tugasan yang ditetapkan.

Setiap kumpulan dibantu seorang ketua kampung sebagai ‘pemandu pelancong’ ke beberapa tempat yang dilawati sepanjang penjelajahan di mukim Panchor dan Bakri.

Antara perkampungan yang dilawati pada hari pertama jelajah ialah Jayor, Raja, Melayu, Sebasu, Olak Spam, Sri Bukit Batu, Parit Zin, Simpang Jeram, Kampung Batu 3, Batu 5, Batu 6 dan Jeram Tepi.

Peserta turut tidak melepaskan peluang mengunjungi tempat bersejarah seperti makam Mat Berani di Kampung Olak Spam yang dikatakan wujud sejak 1511 serta tempat pembuatan dan pembungkusan produk industri kecil sederhana (IKS), Aini Frozen Food di Kampung Melayu.

Peserta turut berpeluang meninjau River Ranger iaitu sistem amaran banjir pertama di negara ini yang terletak di Kampung Raja.

Peserta juga meninjau projek jambatan baru bernilai RM200,000 di Kampung Sri Bukit Batu serta pembinaan masjid Dato’ Abdullah Jaafar dengan kos RM2.3 juta di Kampung Batu 6.

Hari kedua, peserta mengunjungi mukim Kundang, Sagil dan Kesang. Di Teluk Rimba di Kundang, mereka melihat pembangunan projek tali air konkrit bernilai RM1.6 juta untuk pengairan sawah padi.

Kumpulan lain dibawa meninjau aktiviti masyarakat di Kampung Melayu Raya di samping dihiburkan dengan persembahan muzik tradisional kemplingan.

Program lawatan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Muar peserta disajikan pertunjukan kawad kaki oleh penghuni pusat berkenaan.

Pengarah Program, Mohd Fadzli Abu Bakar, berkata Jelajah Johor Siri kedua adalah rentetan kejayaan siri pertama ke Mersing dan Kota Tinggi pada 16 dan 17 Mei lalu.

“Siri kedua Jelajah Johor 2009 mencapai objektif mengumpul bahan bagi penulisan rencana dalam portal Khabar Orang Johor di www.medkom.my/v5.

“Portal itu bertujuan mewujudkan komuniti siber yang memaparkan perkembangan terkini di Johor,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 7 OGOS 2009

Tiada ulasan: