PENGUNJUNG SETIA

03 Ogos 2009

1MALAYSIA MEMPUNYAI DIMENSI STRATEGIK - NAJIB


NAJIB Tun Razak menerima cenderamata berupa cermin yang tertera simbol 1Malaysia yang disampaikan oleh Muhyiddin Yassin pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh dekat Muar, semalam.

MUAR 2 Ogos - Gagasan 1Malaysia bukan saja meningkatkan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di negara ini malah ia turut mempunyai dimensi strategik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, salah satu dimensi strategik itu ialah meningkatkan hubungan baik dengan negara-negara pertumbuhan baru ekonomi dunia seperti China, India, ASEAN dan Asia Barat.

"Bagaimanapun, ini tak bererti kita tak pegang kepada Amerika Syarikat dan Eropah yang sebelum ini penting kepada kita tetapi kerana mereka berdepan masalah ekonomi tertentu, jadi dalam masa terdekat ini kemampuan mereka tidak seperti dulu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di sini hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan, pertumbuhan ekonomi China sekarang pada kadar 7.6 peratus dan perlu bagi Malaysia menarik pelabur dari negara berkenaan.

Beliau berkata, selain China, ekonomi India, ASEAN dan Asia Barat juga berkembang pesat dan kawasan ekonomi yang penting kepada Malaysia.

"Cuba bayangkan kalau China dan India tidak beli kelapa sawit kita. Kalau China bekerjasama dengan kita, peneroka Felda pun boleh dapat manfaat, boleh bina rumah banglo.

"Saya lihat orientasi kita akan ke arah tempat berkenaan tapi kita mesti teruskan hubungan dengan Amerika dan Eropah khususnya dalam aspek teknologi mereka," katanya.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, ditanya bagaimana kerajaan akan meletakkan gagasan 1Malaysia dalam aspek berkenaan, beliau berkata, keunikan dan kemajmukan rakyat Malaysia boleh digunakan dalam hubungan itu.

"Kerana rakyat negara kita berbilang kaum, kita boleh menarik pelabur dari China, India, ASEAN dan Timur Tengah.

"Kita boleh guna 'gateway' itu kepada negara China, India, ASEAN dan Timur Tengah," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa dasar liberalisasi dalam 27 sektor perkhidmatan yang diumumkan sebelum ini bertujuan menjadikan suasana ekonomi di negara ini lebih terbuka.

"Saya sendiri terkejut diberitahu bahawa keterbukaan aspek perkhidmatan kita setaraf dengan Myanmar. Indonesia dan Kemboja pun lebih terbuka daripada kita.

"Di tempat lain kita melabur, tetapi di tempat sendiri kita agak tertutup. Kita nak juga orang lain datang dan melabur di tempat kita," katanya.

Beliau akan membawa perubahan terhadap dasar seperti itu agar dapat memberi kebaikan dan manfaat kepada orang Melayu dan bumiputera serta rakyat.

Jelas beliau, contohnya, pemilikan saham orang Melayu dalam syarikat-syarikat didapati turun iaitu RM54 bilion pada 19 tahun lalu menjadi RM2.4 bilion sahaja kini.

Justeru, katanya, dasar-dasar yang tidak memberi manfaat perlu diubah tetapi mempunyai matlamatnya tetap sama iaitu mahu meningkatkan pegangan orang Melayu.

"Andai kita teruskan juga walaupun ia gagal memberi keuntungan, ia satu kegilaan dan kalau kita nak teruskan juga selepas itu, ia lagi gila," katanya.

"Kalau tidak ada hasil, kita cari cara lain tetapi matlamatnya tetap sama," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 3 OGOS 2009

Tiada ulasan: