PENGUNJUNG SETIA

13 Ogos 2009

PELATIH PUSPEN TAWAN GUNUNG LEDANG

JOHOR BAHRU 12 Ogos - Seramai 10 pelatih prabebas Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dan sembilan petugasnya sempena misi Program Integrasi Semula Dalam Masyarakat berjaya menawan puncak Gunung Ledang, dekat sini baru-baru ini.

Kesemua 19 peserta memulakan ekspedisi pendakian bermula pukul 8.15 pagi dan berjaya menawan puncak Gunung Ledang selepas lima jam pendakian.

Menurut Timbalan Komandan Puspen Muar, Mohd. Faisal Maksom, program anjuran Puspen Muar itu adalah sebagai persediaan bagi pelatihnya yang akan dibebaskan tidak lama lagi untuk berhadapan dengan masyarakat.

"Kebanyakan peserta yang mengikuti program ini akan dibebaskan dalam tempoh tiga bulan akan datang," katanya.

Dengan adanya aktiviti seperti itu, pihaknya berharap ia mampu menangkis stigma masyarakat bahawa bekas penagih dadah kurang daya ketahanan fizikal dan tidak menggemari aktiviti-aktiviti yang berbentuk rekreasi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai supaya bersikap lebih terbuka dengan menerima penyertaan bekas-bekas penagih dalam aktiviti kemasyarakatan yang diadakan.

Pihaknya turut bercadang untuk mempelbagaikan aktiviti seumpama itu pada masa akan datang sebagai landasan bagi para pelatih untuk berhadapan dengan segala rintangan selepas keluar daripada pusat pemulihan itu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 OGOS 2009

Tiada ulasan: