PENGUNJUNG SETIA

11 Ogos 2009

INAP DESA RANCAKKAN PELANCONGAN MUAR

MUAR 10 Ogos - Pejabat Daerah Muar akan menjadikan program inap desa di Kampung Bahagia Batu 28, Lenga, dekat sini sebagai salah satu program yang dapat merancakkan industri pelancongan di daerah ini.

Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani berkata, beliau yakin pakej pelancongan inap desa di kampung tersebut perlu diberi kepelbagaian dalam memberi nilai tambah kepada pakej sedia ada.

''Daerah Muar cukup kaya dengan nilai sejarah dan kita dapat lihat perkara ini dalam kebudayaan masyarakatnya.

''Pejabat Daerah Muar akan mengadakan kerjasama dengan pihak pelancongan agar promosi mengenai Kampung Bahagia Batu 28, Lenga, ini dapat diperhebatkan lagi,'' katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan di sekitar Mukim Pagoh, di sini baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, Mislan dan para pegawai jabatan kerajaan di daerah Muar mengunjungi pelbagai lokasi di Lenga serta menyertai aktiviti sukan rakyat bersama masyarakat setempat.

Beliau turut mencadangkan supaya diperkenalkan elemen pelancongan agro serta pendedahan terhadap industri kecil dan sederhana (IKS) di kampung berkenaan sebagai tarikan baru.

''Saya berpendapat para pelancong dari luar negara pasti berminat untuk mengalami sendiri pengalaman kehidupan desa di negara ini.

''Selain itu, kita boleh juga membawa mereka menyusuri sepanjang Sungai Muar yang kaya dengan pelbagai sejarah di sekitarnya,'' katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 OGOS 2009

Tiada ulasan: