PENGUNJUNG SETIA

14 Ogos 2009

BULAN KEMERDEKAAN PERINGKAT JOHOR BERMULA 16 OGOS

JOHOR BAHRU 13 Ogos - Majlis sambutan Bulan Kemerdekaan ke-52 peringkat negeri yang bertema 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan akan disambut mulai 16 Ogos hingga 17 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Johor, Md. Jais Sarday berkata, sebanyak lima program akan dilaksanakan bagi peringkat negeri.

Menurutnya, antara program yang diatur adalah majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Perhimpunan Semarak Merdeka 1Malaysia.

Majlis yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman itu dijadual diadakan di pekarangan Pasaraya TJ Mart, Saleng, Kulaijaya, pukul 8 malam pada 18 Ogos ini.

"Sempena majlis tersebut, turut diadakan karnival di ruang legar pasar raya berkenaan seperti pameran 1Malaysia, promosi kecergasan, pertandingan solo lagu-lagu patriotik sekolah rendah daerah Kulaijaya.

"Turut diadakan pertandingan mewarna dan melukis, konvoi kibar Jalur Gemilang, persembahan kombo RTM, pelepasan larian merdeka dan berbasikal kibar Jalur Gemilang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Perhimpunan Semarak Merdeka 1Malaysia peringkat negeri di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini hari ini.

Menurut Md. Jais, program kedua yang diatur adalah program berbentuk keagamaan iaitu khutbah khas sempena kemerdekaan yang akan disampaikan pada solat Jumaat di seluruh masjid di Johor pada 28 Ogos ini.

"Pihak berkuasa agama lain juga disaran untuk menganjurkan program tersebut bersesuaian dengan amalan keagamaan mereka.

"Disebabkan tahun ini kita sambut merdeka dalam bulan puasa, maka akan diadakan jamuan berbuka puasa muhibah di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Muar," katanya.

Katanya, dijangka 5,000 orang daripada pelbagai kaum dari seluruh Johor akan hadir.

Selain itu, turut diadakan adalah Perhimpunan Pagi Hari Kemerdekaan yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru pada pukul 8 pagi 31 Ogos ini.

Menurutnya, setiap daerah akan mengadakan program perhimpunan tersebut di samping menjayakan majlis penyampaian bungkusan kepada orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan bayi-bayi yang lahir pada 31 Ogos 2009.

Beliau turut menyeru semua rakyat agar menjayakan program sambutan Bulan Kemerdekaan bersama-sama kerajaan dalam menghidup dan menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 OGOS 2009

Tiada ulasan: