PENGUNJUNG SETIA

03 Ogos 2009

'GANDINGAN SAYA, MUHYIDDIN SERASI'

Oleh Junita Mat Rasid dan Mohd Roji Abdullah
bhnews@bharian.com.my


NAJIB menerima cenderahati daripada Muhyiddin selepas merasmikan Persidangan Umno Bahagian Pagoh, di Kompleks Sri Pekembar, Muar, semalam.

Najib yakin hubungan baik elak sejarah berulang

PAGOH: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau perlu menjalin hubungan erat dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengukuhkan parti dan kerajaan Barisan Nasional (BN) menghadapi pelbagai cabaran masa depan.

Perdana Menteri berkata, hubungan serasi serta saling mempercayai menjadi kunci utama kekuatan kepemimpinannya, selain tidak mahu sejarah lama berulang sehingga menyukarkan pentadbiran negara.

"Dalam sejarah perjuangan parti dan negara, kita pernah melaluinya (saat sukar) ketika hubungan Perdana Menteri dan Timbalan bermasalah. Saya ingin berusaha, ingin melihat dan ingin memastikan hubungan ini menjadi hubungan yang amat baik, kukuh dan amat serasi kerana inilah cara untuk kita hadapi segala cabaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh yang diketuai Muhyiddin, di Dewan Sri Pekembar di sini, semalam.

Najib juga berkata, beliau tahu dan amat memahami perasaan seorang Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno kerana pernah berada pada kedudukan itu.

Justeru, katanya, hubungan baik antara dua pemimpin tertinggi itu perlu sentiasa dipelihara dan diperkukuhkan demi pembentukan sebuah pasukan yang mantap untuk menerajui kerajaan dan parti.

"Saya datang ke Pagoh kerana hendak memberitahu ahli parti dan seluruh negara bahawa kami berdua akan bekerjasama serta berganding bahu dan tangan untuk memastikan parti kita kuat dan negara lebih berjaya untuk mengorak langkah ke depan," katanya.

Najib berkata, ketika melantik Muhyiddin sebagai Timbalannya, beliau memaklumkan mereka perlu membuat pembahagian tugas secara teratur bagi memastikan kelancaran pentadbiran.

Beliau juga berkata, sudah menjadi lumrah sejak dulu Perdana Menteri perlu memenuhi tuntutan tanggungjawab peringkat antarabangsa.

"Tanggungjawab kita sama ada di Asean, OIC, NAM dan banyak lagi pada peringkat antarabangsa yang perlu dilakukan Perdana Menteri. Saya beritahu beliau (Muhyiddin), bila memikul tugas Timbalan Perdana Menteri, tumpuan harus diberikan kepada soal urusan dalaman parti dan kerajaan.

"Maka, akan wujudlah pembahagian tugas yang sangat sesuai apabila Timbalan Perdana Menteri bertanggungjawab pada soal domestik, iaitu dalam parti dan kerajaan," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapannya berikrar bekerja bersungguh-sungguh bagi memulihkan sokongan terhadap parti dan mengukuhkan kerajaan.

"Saya ingin nyatakan, selaku Timbalan Perdana Menteri, saya bukan setakat memberi sokongan kepada sebarang usaha serta tindakan Perdana Menteri, tapi berjanji bekerja sungguh-sungguh untuk membantu beliau memulihkan kedudukan kita, untuk memperkuatkan parti dan memperkukuhkan kerajaan," katanya.

Muhyiddin berkata, dalam situasi agak mencabar ketika ekonomi dunia dilanda masalah, selain kestabilan politik negara dicabar, Najib adalah tokoh paling tepat untuk menerajui parti dan kerajaan.

"Dalam keadaan begini, kita bukan saja perlukan sokongan rakyat jelata, tetapi paling utama seorang pemimpin untuk memperjuangkan nasib bangsa, agama serta negara dan tiada pemimpin paling sesuai yang dilahirkan dalam situasi negara sekarang kecuali Datuk Seri Najib," katanya.

Dalam ucapannya, Najib juga mengarahkan Umno dan BN Johor menyusun strategi khusus bagi memastikan mereka terus menyumbangkan kerusi kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau turut mengisytiharkan Johor sebagai 'negeri biru' kerana terus menjadi kubu kuat BN ketika beberapa negeri lain berjaya ditembusi parti lawan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 3 OGOS 2009

Tiada ulasan: