PENGUNJUNG SETIA

22 Ogos 2009

48 JAM: RONDA-RONDA JOHOR

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
bhnews@bharian.com.my


RUMAH Limas di Teluk Danga menggamit tumpuan siapa saja yang berkunjung di sini.

Jelajah Johor Bahru ke Gunung Ledang cari harta karun, dekati alam

PROGRAM Zoom! Johor On Wheels 2009 baru-baru ini membawa penulis menjelajah negeri Johor Darul Takzim. Dari Johor Bahru ke Resort Gunung Ledang, program berkonsep pencarian harta karun ini mencatat kenangan indah dengan pelbagai keseronokan dan pengalaman baru.

Dianjurkan Tourism Malaysia Johor dengan kerjasama Jabatan Penyiaran negeri, program Zoom! Johor On Wheels 2009 membolehkan penulis mengenali lebih dekat keunikan setiap daerah serta kepelbagaian produk pelancongan dan juadah tempatan.

Seramai 100 peserta termasuk 40 wakil media dari Kuala Lumpur, Pahang dan Johor menyertai program ini yang pertama kali dianjurkan bagi memperkenalkan destinasi pelancongan di negeri selatan Semenanjung ini.

Penulis yang berganding dengan tiga rakan media mewakili Kelab Media Pahang, berjaya mengharungi cabaran Zoom! Johor On Wheels 2009 dan lebih beruntung, berpeluang menjejaki lokasi peranginan menarik di negeri indah permai ini.

Ikuti catatan ini...

PELBAGAI aktivitimengisi program zoom! Johor On Wheels 2009 termasuk bersiar-siar di Muar dan lawatan ke rumah cendawan di Kampung Tengah, Sungai Abong.

Sabtu
6 pagi :
Aktiviti bermula seawal pagi. Selesai bersarapan, kami termasuk wakil agensi pelancongan diberi taklimat ringkas mengenai pelbagai aspek keselamatan jalan raya bagi perjalanan dari hotel penginapan, Hotel Dorset menuju ke Teluk Danga.

6.40 pagi : Kami memulakan konvoi ke Teluk Danga bertemankan kedinginan pagi. Semua kenderaan yang mengambil bahagian ditampal pelekat pertandingan bagi memudahkan pengecaman selain mematuhi aspek keselamatan. Hati mula terasa seronok menempuh cabaran sepanjang perjalanan.

7.30 pagi : Kami tiba di Teluk Danga dan dihidangkan juadah pagi. Kami teruja menjejakkan kaki di pusat rekreasi terbesar di Johor Bahru sambil memandang jauh ke arah negara seberang, Singapura.

7.45 pagi : Seperti dirancang, semua 18 kereta yang setiap satunya dinaiki empat penumpang beratur menanti giliran untuk dilepaskan Pengerusi Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Hoo Seong Chang.


8 pagi : Tiba masa kereta kami ‘dilepaskan’. Babak awal agak mengelirukan apabila pemandu kami tersilap membuat pusingan U hingga terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang cukup memeningkan.

Namun, selepas menempuh kesukaran, kami tiba di destinasi pertama iaitu Masjid Sultan Ibrahim. Tidaklah sukar menjawab soalan kerana semua petunjuk dinyatakan pada batu tanda.

8.20 pagi : Kami meneruskan misi menuju ke Bangunan Sultan Ibrahim, Beyh Garden dan Taman Merdeka sebelum kembali ke Rumah Limas di Teluk Danga untuk menjawab satu lagi soalan yang nampak mudah tetapi mengelirukan.

Sesuai dengan statusnya sebagai destinasi pelancongan eksklusif, rumah limas adalah rumah tradisional Melayu Johor yang dibina di tengah-tengah Teluk Danga. Di sini, pengunjung boleh melihat lebih dekat lapan model rumah dari setiap daerah di Johor.

10 pagi : Kami bangga kerana menjadi antara kumpulan terawal menyerahkan kertas jawapan. Namun tidak rasa tidak puas hati kerana ada dua soalan tidak dijawab tepat kerana kami hanya berfikir secara rasional.

10.30 pagi : Semua peserta bertolak ke Kluang Mall dan singgah menikmati makan tengahari di Gunung Lambak Eco Resort yang terletak 15 kilometer dari bandar Kluang. Hutan simpan seluas 15.8 hektar ini sesuai bagi aktiviti lasak seperti mendaki gunung, merentas hutan dan memancing.

1.30 petang : Kami menjadi kumpulan akhir yang tiba di Kluang Mall gara-gara terlupa mengikut 'tulips' yang menjadi penunjuk perjalanan.

2 petang : Sebaik menjawab soalan, peserta bergerak ke Kluang Rail Coffee yang cukup terkenal dengan minuman kopi, kaya buatan sendiri, mentega dan telur separuh masaknya. Kopitiam ini juga menyediakan hidangan nasi lemak dan beroperasi setiap hari dari 6.30 pagi hingga 6 petang.

2.20 petang : Peserta mula tiba di Kluang Mall untuk meneruskan pencarian harta karun. Sekali lagi, kami tertinggal di belakang akibat sesat. Penat jugalah, taiko kami, Fuad Dahlan menjerit-jerit memanggil nama kumpulan kami iaitu Nusuk.

2.45 petang : Cabaran terakhir menunggu di Kluang Mall dan kami perlu menjawab 10 soalan sukar. Puas kami membuat pusingan di aras bawah pusat beli-belah ini untuk mencari jawapan. Apa yang menarik, pelbagai ragam peserta dapat dilihat... Semuanya bagai tidak mampu lagi berfikir secara waras.

4.10 petang : Selepas menyerahkan kertas jawapan, kami tidak membuang masa lalu bertolak ke Homestay Parit Bugis di Muar. Sepanjang perjalanan dari Batu Pahat ke Muar, kami tidak henti-henti memikirkan jawapan kepada setiap soalan sambil mata melilau ke kiri dan kanan jalan.

Kami tertarik dengan struktur binaan rumah penduduk tempatan yang kebanyakannya dipisahkan dengan longkang besar atau lebih dikenali sebagai parit.

Setiap parit ada namanya. Malah kampung yang dibina diberi nama mengikut nama parit. Ini dapat dilihat di Kampung Parit Sri Medan, Kampung Parit Yaani, Kampung Parit Yusoff dan Kampung Parit Bugis.

5.45 petang : Kami tiba di Homestay Parit Bugis. Selepas menikmati juadah ubi rebus cicah sambal tumis sebagai minum petang, kami diserahkan kepada keluarga angkat. Pertama kali penulis menginap di homestay bersama keluarga angkat. Homestay Parit Bugis terkenal selepas memenangi tempat kedua Pertandingan Kampung Terbaik Peringkat Kebangsaan pada 2004.

8.30 malam : Kami menikmati makan malam di tapak perkhemahan. Di sini jugalah berlangsungnya majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan mencari harta karun kategori media. Kelab Media Pahang menduduki tangga ketujuh dari 10 pasukan media yang bertanding. Cukup berbaloi! Lebih bertuah, penulis juga memenangi cabutan bertuah pada malam itu.

10 malam : Kami disajikan dengan persembahan ghazal dan tarian Barongan yang terkenal di kalangan masyarakat Jawa. Agak menyeramkan menyaksikan tarian yang ceritanya berkisar pada zaman pemerintahan Kerajaan Majapahit.

12 tengah malam : Mata mula mengantuk, kami pulang ke bilik penginapan.

Ahad
9.30 pagi :
Selesai bersarapan, kami menyambung perjalanan. Kali ini, kami tidak lagi mengambil bahagian dalam pertandingan mencari harta karun kerana kategori media berakhir semalam. Namun asalkan dapat berseronok dan meneroka Johor, kami tidak mahu melepaskan peluang.

10.30 pagi : Kami menuju ke pusat herba terbesar negara, Nasuha Herbs & Spices. Mata melilau mencari herba terpilih untuk dibawa pulang sebagai minuman kesihatan. 'Istana' herba terbesar milik usahawan, Nasuha Kasian ini menghasilkan lebih 108 jenis produk kesihatan berasaskan herba dan rempah termasuk rempah jenama, Mak Siti.

Pengusaha ini juga membina calet dan kabin diperbuat daripada kayu yang mempunyai khasiat kesihatan. Nasuha juga menyediakan kemudahan lawatan setempat, persidangan, seminar, restoran dan sebuah 'amphitheatre'.

11.30 pagi : Kami meneruskan perjalanan ke tapak industri cendawan tiram kelabu dan ternakan di Kampung Tengah, Sungai Abong. Peserta dihidangkan makanan tengahari mee bandung Muar dan mee rebus bersama air bandung soda yang cukup menyelerakan. Kami juga menikmati daging kambing kacukan Boer panggang dan buah-buahan segar dari kebun.

1.30 petang : Kami memasuki rumah cendawan dan berpeluang memetik cendawan untuk dibawa pulang. Seronoknya dapat memetik cendawan bersama Pengarah Tourism Malaysia Johor, Noridah Kamarudin.

2.30 petang : Dengan perut yang sudah kenyang, kami meneruskan perjalanan ke Resort Gunung Ledang. Kami terpegun menikmati keindahan alam semula jadi Gunung Ledang yang penuh misteri.

5.30 petang : Selepas mendaftar diri, penulis bersama rakan-rakan mengambil kesempatan meninjau kawasan sekitar dan mandi di air terjun semula jadi yang cukup dingin airnya.

8.30 malam : Kami bersiap menghadiri majlis penutup dan penyampaian hadiah bagi kategori ejen pelancongan. Majlis bertambah meriah dengan persembahan kumpulan muzik, Redemption.

12 tengah malam : Majlis tamat dan kami masing-masing mengucapkan selamat tinggal. Terima kasih kepada dua kakitangan Tourism Malaysia Pahang, Anwarul dan Chan yang setia bersama sepanjang kembara.

INFO: Lokasi pelancongan menarik di Johor

  • Johor Darul Takzim bermaksud tempat perlindungan bermaruah dalam Bahasa Arab.

  • Satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang mempunyai pantai di sempadan timur dan barat.

  • Puncak tertinggi ialah Gunung Ledang dengan paras ketinggian 1,276 meter.

  • Ghazal adalah tulang belakang nyanyian tradisional Melayu Johor.

  • Johor mudah dijelajahi dengan lingkaran lebuh raya moden dan sistem pengangkutan awam di semua daerah

    Lokasi pelancongan menarik di Johor

  • Desaru - pantai dan padang golf di pantai Laut China Selatan;

  • Kota Tinggi - air terjun setinggi 34 meter.

  • Kukup - kampung perikanan dengan restoran makanan laut yang dibina atas laut

  • Muar - bandar indah dan moden di tebing Sungai Muar

  • Kepulauan Seribuat - gugusan pulau yang mempunyai terumbu karang dan pantai yang indah;

  • Tanjung Piai - hujung paling selatan di benua Asia.

    Maklumat lanjut sila hubungi:

    Tourism Malaysia Johor
    L3-26
    Johor Information Centre (Jotic)
    No 2, Jalan Ayer Molek
    80000 Johor Bahru
    Johor

    Tel : 07-2223590
    Faks : 07-2235502
    E-mel : mtmbjhb@gov.my

  • SUMBER: BERITA HARIAN, 22 OGOS 2009

    Tiada ulasan: