PENGUNJUNG SETIA

22 Ogos 2009

NOSTALGIA BASIKAL KLASIK DI MUAR


SEBAHAGIAN daripada pemilik basikal klasik bertukar pandangan selepas menyempurnakan acara kayuhan sekitar bandar Muar sempena Bulan Kemerdekaan negara di Dataran Tanjung Emas, Muar, baru-baru ini.

MUAR 21 Ogos – Bandar ini menampilkan nostalgia baru-baru ini dengan kehadiran 62 pemilik basikal klasik dari negeri ini dan Melaka.

Pengayuh yang bersiar-siar sejauh 10 kilometer sekeliling bandar ini mencuri tumpuan bukan kerana basikal mereka antik malah pakaian juga bertemakan era zaman 1950-an.

Perhimpunan basikal klasik yang julung-julung kali diadakan itu dijayakan empat persatuan iaitu Kelab Basikal Tua Batu Berendam; Melaka, Kelab Basikal Klasik Muar, Kelab Sepeda Tua Johor Bahru dan Kelab Basikal Klasik Batu Pahat.

Pengarah projek acara itu, Ikhwan Ibrahim berkata, penganjuran program itu selaras dengan sambutan ulang tahun Bulan Kemerdekaan ke-52.

“Acara ini bertujuan mendekati masyarakat dan generasi muda agar menghayati Bulan Kemerdekaan selaras matlamat kerajaan dalam konsep 1Malaysia.

“Semoga nostalgia silam basikal klasik yang pernah menjadi saksi kemerdekaan negara akan dapat terus dilestarikan agar tidak pudar ditelan zaman,” katanya kepada pemberita di sini.

Acara kayuhan kira-kira dua jam itu antaranya melalui Jambatan Muar, Jalan Maharani, Jalan Bentayan, Jalan Abdullah, Jalan Majidi dan berakhir di Dataran Tanjung Emas di sini.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 OGOS 2009

Tiada ulasan: