PENGUNJUNG SETIA

07 Ogos 2009

PAGOH SOKONG MUHYIDDIN


KETUA Pemuda UMNO Pagoh, Ismail Mohamed (lima dari kanan) mengetuai perhimpunan aman pergerakan Pemuda bahagian itu dalam menyatakan sokongan kepada kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, Muar, semalam. – Utusan / Kamil Maslih

Oleh KAMIL MASLIH

MUAR 6 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh mengadakan perhimpunan secara aman bagi menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membidas Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengkhianati perjuangan Melayu.

Perhimpunan diketuai Ketua Pemuda UMNO bahagian berkenaan, Ismail Mohamed turut mempertahankan Utusan Malaysia yang disaman oleh Anwar kerana menyiarkan kenyataan Muhyiddin itu.

Ismail berkata, perhimpunan bermula pukul 5.30 petang itu turut mengumpul tanda tangan ahli untuk disertakan dalam memorandum 'Menentang Pengkhianat Melayu' yang akan diserahkan kepada Muhyiddin menerusi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Tahir Taat.

"Pemuda UMNO Pagoh berdiri teguh menyokong Muhyiddin dan beliau tidak perlu tunduk atau minta maaf terhadap Anwar.

"Muhyiddin tidak perlu rasa keseorangan kerana kami sentiasa menyokong dan bersedia berjuang bersama-sama," katanya kepada Utusan Malaysia selepas perhimpunan itu yang diadakan di hadapan Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di sini hari ini.

Baru-baru ini Muhyiddin dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading membidas Anwar yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengkhianat perjuangan orang Melayu.

Berikutan kenyataan tersebut, Anwar menerusi peguamnya menghantar surat tuntutan ganti rugi sebanyak RM100 juta kepada Muhyiddin dan Utusan Malaysia.

Selain Utusan Malaysia, kenyataan Muhyiddin itu turut disiarkan oleh New Sunday Times dan Berita Harian.

Menurut Ismail, generasi muda parti amat menyokong kepimpinan Muhyiddin dan beliau yakin gelombang sokongan itu akan datang dari seluruh negara.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 7 OGOS 2009

1 ulasan:

SUHAIMI berkata...

siapa yang pengkhianat bangsa?
siapa yang songlap duit rakyat?