PENGUNJUNG SETIA

14 Ogos 2009

AKTIVITI LASAK LATIH BEKAS PENAGIH

Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@nstp.com.my

Program Puspen pastikan penghuni bebas dadah, amal cara hidup sihat

JOHOR BAHRU: Pembabitan bekas penagih dadah dalam aktiviti lasak terutama yang baru menamatkan proses pemulihan dapat menjadikan mereka lebih berdisiplin, sekali gus mengelak kembali terjerumus dalam kegiatan tidak sihat itu.

Timbalan Komandan Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Muar, Mohd Faisal Maksom, berkata pembabitan bekas penagih dalam aktiviti lasak juga dapat memupuk minat mereka menceburi pelbagai aktiviti sihat serta menguji tahap kesihatan fizikal dan mental.

Beliau berkata, pihaknya berharap pembabitan mereka dalam aktiviti lasak mengikis tanggapan masyarakat yang berpendapat bekas penagih kurang daya tahan fizikal dan tidak menggemari aktiviti berbentuk rekreasi.

"Program Integrasi Semula Dalam Masyarakat yang dikendalikan Puspen bertujuan memastikan penghuni bebas daripada dadah dan mengamalkan cara hidup sihat.

"Mereka menjalani pelbagai aktiviti lasak dan menarik di hutan secara berkumpulan, menghargai kehidupan alam semula jadi dan membantu mereka menjalinkan hubungan dengan masyarakat sekitar sebagai persediaan menjalani kehidupan selepas dibebaskan kelak," katanya.

Faisal berkata, dengan menyertai program berkenaan, kumpulan pelatih didapati bebas daripada masalah ketagihan dan mempunyai tahap kesihatan fizikal membanggakan seperti ditunjukkan sekumpulan pelatih yang berjaya menawan puncak Gunung Ledang dalam satu ekspedisi, baru-baru ini.

"Seramai 10 pelatih prabebas dan sembilan petugas Puspen memulakan ekspedisi pendakian bermula jam 8.15 pagi sebelum berjaya menawan puncak Gunung Ledang kira-kira jam 1 tengah hari," katanya yang bangga dengan sikap ditunjukkan pelatih yang cukup bersemangat menawan puncak gunung itu.

SUMBER: BERITA HARIAN, 14 OGOS 2009

Tiada ulasan: