PENGUNJUNG SETIA

21 Ogos 2009

ADIK TPM BERSARA


FADZILAH Mohamad Yassin menerima jambangan bunga semasa majlis meraikan persaraannya sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Convent, Muar, Johor, semalam.


MUAR 21 Ogos - Selepas mencurahkan bakti 33 tahun dalam dunia pendidikan, adik Timbalan Perdana Menteri, Fadzilah Mohamad Yassin, 55, menamatkan kerjayanya bulan ini.

Fadzilah yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Muar mengakhiri kerjaya dicintainya itu dengan pelbagai kejayaan dan kenangan manis.

''Memang saya sedih meninggalkan sekolah ini namun dalam tempoh 10 tahun saya sudah buat yang terbaik untuk sekolah ini.

''Malah SK Convent Muar meraih pelbagai kejayaan bukan saja di peringkat kebangsaan malah antarabangsa, itulah kenangan manis saya,'' kata ibu kepada lima cahaya mata itu.

Fadzilah hari ini diraikan oleh para guru dan murid sekolah berkenaan dalam satu majlis yang cukup bermakna bagi menghargai jasa-jasa beliau.

Sepanjang kariernya, Fadzilah yang memulakan tugas sebagai Guru Penolong Kanan (GPK) di SK Felda Bukit Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan pada tahun 1976 telah empat kali menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Beliau pernah berkhidmat di lapan sekolah termasuk Guru Besar SK Sawah Ring dan SK Temiang.

Dalam perkhidmatannya di SK Convent Muar, beliau membawa sekolah itu mencapai peratusan lulus 95.2 peratus dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu dengan 47 murid mendapat keputusan 5A.

Menerusi terajunya juga, SK Convent Muar mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Boling Antarabangsa Piala Shalin pada 2006 dan tempat kelima Pertandingan Gimnastik Artistik Majlis Sukan-Sukan Sekolah (MSSM) tahun lalu.

Ditanya mengenai rancangan persaraannya, Fadzilah memberitahu, beliau merancang menghasilkan buku-buku mengenai modul pendidikan kepada murid-murid sekolah.

''Minat saya ialah bidang ini dan saya berharap dapat terus memberi sumbangan walaupun telah bersara,'' katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 OGOS 2009

Tiada ulasan: