PENGUNJUNG SETIA

20 Ogos 2009

HORMATI, KIBAR JALUR GEMILANG


ABDUL Ghani Othman berlari sambil mengibarkan Jalur Gemilang pada Perhimpunan Semarak Merdeka 1Malaysia dan pelancaran Kempen Jalur Gemilang peringkat negeri di Kulaijaya, semalam.


KULAIJAYA 19 Ogos - Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menyeru rakyat negeri ini menghormati dan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan ulang tahun ke-52 kemerdekaan negara sebagai menghargai serta menghayati erti kemerdekaan sebenar.

Beliau berkata, rakyat perlu menyedari bahawa Jalur Gemilang adalah lambang dan simbol kedaulatan negara, bukan sekadar kain berwarna dan bercorak yang dinamakan bendera.

"Justeru, ia perlu dikibarkan dengan penuh rasa bangga. Kalau lambang dan simbol tidak dihormati, bagaimana mahu menghayati kemerdekaan dan kebebasan yang telah dikecapi selama lebih setengah abad lamanya.

"Kibarkanlah Jalur Gemilang di mana sahaja, tidak kira di pejabat, rumah, premis perniagaan, sekolah dan kenderaan," katanya semasa merasmikan Majlis Perhimpunan Semarak Merdeka 1Malaysia dan pelancaran Kempen Jalur Gemilang peringkat negeri di pekarangan pasar raya TJ Mart di sini malam tadi.

Majlis anjuran kerajaan negeri itu diadakan bagi menyemarakkan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang disambut pada 31 Ogos ini.

Sementara itu, Abdul Ghani turut mengutuk tindakan sesetengah pihak sebelum ini yang tidak menghormati dan mempersendakan satu lagi simbol dan lambang kedaulatan negara iaitu lagu kebangsaan, Negaraku dengan mengubah atau menokok tambah lirik mahupun rentak lagu itu.

"Ini adalah perbuatan melampau dan tidak tahu bersyukur atas nikmat dapat hidup dalam sebuah negara yang aman dan makmur," katanya.

Selain itu, beliau juga menasihati semua pihak menghormati kontrak sosial yang merupakan satu perjanjian ikhlas demi kebaikan bersama untuk menerajui sebuah negara yang merdeka dan makmur.

Katanya, semua pihak perlu berpegang pada perjanjian itu yang dipersetujui pejuang kemerdekaan terdahulu dan membuang segala syak wasangka yang boleh menggugat perpaduan kaum di negara ini.

"Rakyat yang bersatu padu merupakan benteng pertahanan yang kukuh untuk menghadapi sebarang ancaman sama ada dari dalam mahupun luar negara.

"Perpaduan juga adalah tunjang kestabilan politik, keharmonian dan keutuhan daya saing ekonomi negara," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 20 OGOS 2009

Tiada ulasan: