PENGUNJUNG SETIA

03 Ogos 2009

BERTEMPIK BIARLAH BERTEMPAT

MUAR 2 Ogos – “Di Selangor ada stadium yang dikuasai kerajaan negeri mereka... bertempiklah sampai subuh tapi jangan kacau jalan dan lalu lintas orang ramai.”

Demikian reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai demonstrasi jalanan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menjejaskan keamanan dan ketenteraman awam di sekitar ibu negara semalam.

Najib berharap, tidak ada lagi demonstrasi seperti itu yang memberi masalah kepada rakyat.

“Pihak berkuasa khususnya, Polis Diraja Malaysia mempunyai tanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman awam, ini amat penting. Jadi, kita tidak mahu apa yang berlaku seperti semalam berterusan.

“Kalau hendak berkumpul, kita boleh sediakan tempat tertentu mereka boleh berkumpul tetapi demonstrasi jalanan adalah sesuatu yang tidak patut berterusan dan pihak berkuasa boleh ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Dewan Seri Pekembar, di sini hari ini.

Ditanya sama ada terdapat pemimpin pembangkang akan ditahan berikutan demonstrasi semalam, Perdana Menteri menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, kita tak nak jadikan ini sebagai bahan politik mereka, seolah-olah kerajaan ini kejam, seolah-olah kerajaan ini tidak adil, tidak demokratik dan undang-undang kita ‘draconian’.

“Perkara ini kita mesti beri penjelasan jelas kepada rakyat. Apa-apa tindakan kerajaan mesti dapat diterima rakyat, barulah penguatkuasaan undang-undang di negara kita berkesan,” katanya.

Pada demonstrasi di ibu kota semalam, lebih 500 orang ditahan polis.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 3 OGOS 2009

Tiada ulasan: