PENGUNJUNG SETIA

03 Ogos 2009

KERAJAAN UTAMA KETENTERAMAN

Oleh Junita Mat Rasid, Mohd Roji Abdullah, Azman Mahmood dan Suhana Roslan
bhnews@bharian.com.my


NAJIB diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan orang ramai ketika menghadiri majlis Perasmian Persidangan Umno Bahagian Pagoh, di Kompleks Sri Pekembar, di Muar, semalam.

Perhimpunan di tempat khas mungkin dibenarkan: PM

MUAR: Kerajaan bersedia memberi kebenaran kepada pihak tertentu menganjurkan perhimpunan di tempat khas bagi membantah sesuatu isu di tempat yang sesuai kerana tidak mahu rakyat mengalami kesusahan seperti yang berlaku pada perhimpunan haram membantah dan menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), di ibu negara kelmarin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan mengutamakan ketenteraman awam dan pembangkang sepatutnya menggunakan kawasan khas untuk berhimpun dan tidak mengadakan demonstrasi jalanan haram.

"Kerajaan boleh memberi kebenaran kepada rakyat berkumpul, termasuk di stadium bagi mengelakkan demonstrasi jalanan yang menyusahkan rakyat dan menjejaskan lalu lintas.

"Biasanya (perhimpunan) dibuat di stadium. Di Selangor pun ada stadium di bawah kuasa kerajaan negeri yang boleh digunakan untuk perhimpunan.

"Buatlah di stadium... bertempiklah sampai subuh pun tak apa, jangan kacau lalu lintas dan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Umno bahagian Pagoh, di Kompleks Sri Pekembar, di sini semalam.

Beliau mengulas perhimpunan haram anjuran kumpulan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pembela Negara (Magaran) yang pro-ISA, kelmarin.

Perhimpunan itu menjejaskan rutin harian penduduk yang terpaksa mengalami kesesakan teruk dan peniaga di beberapa jalan utama mendakwa kerugian kerana terpaksa menutup premis perniagaan.

Orang ramai turut mengalami kesulitan menaiki pengangkutan awam, termasuk transit aliran ringan (LRT) apabila Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya terpaksa ditutup bagi mengelak kejadian buruk.

Mengenai cara pihak berkuasa menangani perhimpunan itu, Najib berkata, polis yang bertanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman awam perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan ia berulang dan sebarang tindakan termasuk menahan mereka yang bertanggungjawab terpulang kepada polis.

Namun, katanya, pembangkang tidak sepatutnya menjadikan demonstrasi sebagai bahan politik untuk menunjukkan seolah-olah kerajaan kejam, tidak adil atau tidak demokrasi kerana negara mempunyai undang-undang.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata perhimpunan itu menyebabkan peniaga kecil dan pusat beli-belah serta sektor pengangkutan awam dan pelancongan mengalami kerugian sehingga RM200 juta.

Beliau yang menemui peniaga di Jalan Tun Ismail dan Raja Laut semalam, berkata pegawai kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah diarah mendapatkan maklum balas daripada semua peniaga dan pemilik premis perniagaan di lokasi yang terbabit dengan perhimpunan itu.

"Kerugian peniaga sudah pasti besar kerana semalam (kelmarin) hari minggu dan musim perayaan menjelang. Tentunya orang ramai mula membuat persediaan membeli belah untuk hari raya," katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, pula berkata polis akan memanggil 11 individu termasuk tiga pemimpin utama pembangkang yang dipercayai menjadi dalang perhimpunan.

Mereka termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh kerana dipercayai menjadi dalang perhimpunan itu.

Individu lain yang akan dipanggil ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali; Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Penerangan PKR, Tian Chua; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu; Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Parlimen Machang, Saifudin Nasution Abdullah dan Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad.

"Jika siasatan mendapati mereka dalang utama yang menganjurkan perhimpunan, kita akan mengambil tindakan undang-undang dengan mendakwa mereka di mahkamah," katanya.

Musa berkata, polis mengenal pasti mereka hadir, termasuk memberikan ucapan di Pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut, pada jam 3.55 petang kelmarin.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis 1967 kerana menganjurkan perhimpunan haram dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 27(8) akta sama iaitu denda antara RM2,000 hingga RM10,000 dan penjara sehingga setahun.

SUMBER: BERITA HARIAN, 3 OGOS 2009

Tiada ulasan: