TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

02 Ogos 2009

MELAYU PEMBANGKANG MEMALUKAN

MUAR 1 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbuatan pemimpin Melayu daripada pakatan pembangkang yang mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu, amat memalukan.

Beliau menegaskan, lebih menghinakan apabila perbuatan menggadai maruah diri sendiri dan orang Melayu itu dilakukan semata-mata atas dasar kepentingan politik sempit tanpa memikirkan kepentingan orang Islam di negara ini.

''Amat memalukan terdapat pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang yang atas dasar politik sanggup mempertikaikan kedudukan ekonomi Melayu, raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam dengan menganggap apa yang diperjuangkan oleh UMNO sebagai perkauman dan semua rakyat perlu saksama semuanya," katanya.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, perbuatan buruk pemimpin pembangkang itu amat menyentuh perasaan orang Melayu kerana pemimpin pembangkang itu mempertikaikan perkara yang telah disepakati pemimpin terdahulu semasa negara mencapai kemerdekaan.

Bahkan, tegasnya, orang Melayu semakin bimbang kerana hak mereka yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya dicabar.

Menurutnya, perkara itu melibatkan hak keistimewaan bumiputera, kedudukan Islam, martabat institusi raja dan bahasa Melayu yang lebih ketara cuba digugat selepas pilihan raya umum lalu.

''Hingga ada orang Melayu berpendapat jika kita tidak menguruskan perkara ini dengan baik, cekal dan berani untuk memastikan sokongan rakyat, maka tidak mustahil pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kita akan tewas.

''Kalau UMNO tidak mampu mempertahankan perjuangan orang Melayu maka nasib orang Melayu akan gelap dan malap," tegasnya.

Muhyiddin menegaskan, beliau bukan bersifat perkauman atau rasis dalam membincangkan isu-isu tersebut namun hakikatnya, UMNO kini merupakan satu-satunya parti yang mendokong dan memperjuangkan nasib serta mempertahankan maruah orang Melayu.

Menurutnya, ia terbukti daripada pelbagai sudut termasuk dari segi sejarah apabila UMNO telah mengubah nasib orang Melayu yang dahulunya miskin, hina, tidak berharta dan daif kepada kaum yang dipandang tinggi oleh kaum lain.

''Seperti yang dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa perjuangan kita belum selesai kerana pelbagai cabaran contohnya dari sudut sosial, ekonomi dan politik belum selesai," katanya.

Beliau berkata, walaupun situasi politik selepas pilihan raya umum lalu semakin mencabar, orang Melayu secara umumnya menyedari bahawa UMNO adalah parti yang boleh diharap untuk mempertahankan mereka.

''Kalau ditanya tentulah jawapannya UMNO parti yang mampu mempertahankan Melayu dan lebih-lebih lagi kalau dilihat parti-parti di sebelah sana (pembangkang) sanggup menggadaikan maruah dan hak orang Melayu untuk kepentingan politik," jelasnya.

Justeru, beliau berkata, UMNO perlu terus mempelopori usaha untuk menyemarakkan perjuangan asal dengan membakar semangat dan meniup api perjuangan di kalangan orang Melayu supaya terus lantang mempertahankan hak mereka yang tergugat seperti pada zaman dahulu hak Melayu tergugat.

Katanya, orang Melayu perlu mendapatkan kekuatan baru dengan memulihkan semangat yang tercalar ekoran daripada pilihan raya umum lalu kerana pada waktu ini juga orang Melayu berada dalam kesusahan seperti zaman dahulu.

''Sekarang zaman kesusahan maka kita perlu semangat yang terbakar dan membakar, jangan kita takut jika ada pihak yang mempertikaikan hak Melayu, UMNO mesti berjuang dengan lebih keras," jelasnya.

Muhyiddin berkata, ini boleh dilaksanakan bermula dengan jiwa-jiwa yang bersih oleh semua ahli pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri dalam perjuangan berkenaan.

Katanya, beliau melihat semangat sesetengah ahli UMNO khususnya di negeri-negeri yang ditawan pembangkang mulai luntur.

''Mereka seolah-olah tidak berdaya, tidak terfikir boleh kalah walhal semua orang tahu bahawa UMNO yang berjuang untuk membela dan membangunkan negara.

''Ini bermakna bukan sahaja kalah dalam pilihan raya tetapi semangat dan jiwa mereka juga kalah," katanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, mereka perlu menangkis masalah itu dengan menginsafi bahawa apa yang berlaku adalah semata-mata dugaan daripada Allah.

Katanya, semua ahli perlu turun padang berdamping dengan masyarakat dan mengatasi masalah rakyat dan bergaul dengan mereka dan tidak sombong bagi memulihkan keyakinan rakyat kepada UMNO.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 2 OGOS 2009

Tiada ulasan: