PENGUNJUNG SETIA

05 Ogos 2009

SK KESANG TASEK JUARA KEJOHANAN BOLA JARING


ABDUL Kadir Ibrahim bersama pasukan SK Kesang Tasek yang menjadi juara Kejohanan Bola Jaring 3 lawan 3 bawah 11 tahun peringkat negeri Johor.

MUAR 4 Ogos – Kejayaan manis nyata berjaya diungguli Sekolah Kebangsaan (SK) Kesang Tasek apabila mewakili daerah Ledang untuk menjuarai Kejohanan Bola Jaring 3 Lawan 3 Bawah 11 Johor yang diadakan bulan lalu.

Kejayaan sekolah berkenaan secara tidak langsung turut mengharumkan daerah Ledang yang merupakan daerah baru berbanding daerah-daerah lain di negeri ini.

Pembantu jurulatih pasukan sekolah tersebut, Abdul Kadir Ibrahim berkata, beliau amat berbangga dengan kejayaan anak-anak buahnya itu kerana ia merupakan kejayaan sulung daerah Ledang.

‘‘Pasukan SK Kesang Tasek telah menjadi johan selepas berjaya menewaskan pasukan daerah Muar, S.K Sultan Abu Bakar (1) dalam keputusan 13-5.

‘‘Kejohanan itu sememangnya amat mencabar namun anak-anak buah saya telah menampilkan permainan terbaik mereka,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Abdul Kadir, pasukan sekolah itu telah mendapat bimbingan daripada anaknya, Fazarina Abdul Kadir yang merupakan jurulatih pasukan dan beliau bertindak untuk membantu memperkemaskan lagi permainan.

Katanya, dalam langkah untuk mempersiapkan diri bagi kejohanan itu, anak-anak buahnya telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam setiap sesi latihan dan menunjukkan semangat tidak menyerah kalah.

‘‘Dalam kejohanan terdahulu, SK Kesang Tasek telah berjaya untuk

mewakili daerah namun ini adalah kali pertama sekolah ini berjaya melangkah ke perlawanan akhir dan muncul juara.

‘‘Bagi saya, kejayaan ini amat membanggakan kerana SK Kesang Tasek adalah sekolah yang dikategorikan sebagai SKM (sekolah kurang murid) dan juga merupakan sekolah luar bandar,” katanya yang merupakan pesara guru.

Katanya, perlawanan pusingan akhir kejohanan itu telah berlangsung di SK Taman Desa Jaya, Pasir Gudang pada 18 dan 19 Julai lalu serta melibatkan sebanyak 12 pasukan yang turut merangkumi kawasan Pengerang dan Pasir Gudang.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 5 OGOS 2009

Tiada ulasan: